Sumbangan syarikat arak: Kabinet pertimbang amalan lama sekolah vernakular

Laporan Sinar Harian berhubung perkara berkenaan.
Laporan Sinar Harian berhubung perkara berkenaan.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) pada Rabu bersetuju mengekalkan garis panduan sedia ada berhubung sumbangan dana melibatkan syarikat arak kepada pihak sekolah.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, ia termasuk melarang aktiviti sumbangan memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah.

“Pada masa sama mesyuarat tersebut mengambil pendirian untuk memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan dana.

“(sumbangan) melalui Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan yayasan seperti mana yang diamalkan sejak beberapa pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak.

“Bagaimanapun, Jemaah Menteri menegaskan bahawa penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh melibatkan pelajar Islam,” kata KPM dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, isu sumbangan syarikat arak mencetuskan pertikaian susulan kehadiran Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu dalam majlis amal di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Sepang.

Foto beliau di atas pentas bersama kain rentang memaparkan logo jenama arak menerima kecaman pelbagai pihak termasuk pemimpin politik yang turut membangkitkan garis panduan KPM berkait sumbangan syarikat arak kepada sekolah.

Aiman Athirah yang juga Ahli Parlimen Sepang meminta maaf di atas kekhilafan tersebut dan menjelaskan bahawa sebagai tetamu yang diundang, beliau tidak diberitahu oleh penganjur mengenai senarai penyumbang.

Artikel Berkaitan:

Pusat Khidmat Masyarakat Sepang pula membuat laporan polis terhadap dua akaun Facebook yang memuat naik hantaran berbaur fitnah dengan memaparkan gambar Aiman Athirah bersama minuman keras.

Sementara itu Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu (Dong Zong) dan Persatuan Guru Sekolah Cina Bersatu (Jiao Zong) menegaskan, acara mengumpul dana untuk sekolah vernakular Cina tidak seharusnya dijadikan modal politik, sebaliknya dipuji kerana memberi manfaat kepada ramai pelajar.

“Sepanjang 30 tahun syarikat kilang bir itu secara aktif telah mengumpul dana untuk sekolah Cina sehingga mencapai lebih ratusan juta ringgit untuk ratusan sekolah rendah Cina di seluruh negara.” kata persatuan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!