UMNO boleh menang bergaya PRK Nenggiri - Ahmad Maslan

Ahmad ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang kali ke-21 Tahun 2024 di Lotus Desaru Beach Resort, Bandar Penawar, Kota Tinggi, pada Jumaat.
Ahmad ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang kali ke-21 Tahun 2024 di Lotus Desaru Beach Resort, Bandar Penawar, Kota Tinggi, pada Jumaat.
A
A
A

KOTA TINGGI - Strategi berkesan dan penerangan yang cukup berkenaan isu semasa perlu dilakukan bagi membolehkan UMNO menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bulan depan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini kerana pengundi ketika ini semakin bijak dan jika tidak bersetuju dengan dasar kerajaaan, mereka tidak akan memilih calon daripada parti kerajaan walaupun banyak kelebihannya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, itu yang berlaku dalam PRK DUN Sungai Bakap pada awal bulan ini apabila gagal memberikan penjelasan melibatkan isu-isu nasional.

"Dalam PRK DUN Sungai Bakap ada lima isu nasional yang dimainkan melibatkan isu penyelarasan diesel, isu matrikulasi, isu 'BlackRock', isu Datuk Seri Najib Razak dan isu tekanan air yang rendah sehingga takrif air naik dua tiga kali ganda.

"Walau bagaimanapun tidak mustahil untuk kita menang (PRK DUN Nenggiri) malah kita boleh menang bergaya," katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang kali ke-21 Tahun 2024 di sini pada Jumaat.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengerang serta Timbalannya, Aznan Tamin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.

PRK Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Pada 17 Julai lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, UMNO akan meletakkan calonnya bertanding di kerusi tersebut yang merupakan seorang anak tempatan dan mempunyai jawatan dalam parti.

Tidak menamakan individu berkenaan, Timbalan Perdana Menteri berkata, calon berkenaan akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!