Emraz Travel, dua pengarah didakwa gagal bayar tuntutan RM229,860

Mazuin (kiri) dan Zulkarnain (kanan) didakwa di Mahkamah Majistret Melaka pada Jumaat.
Mazuin (kiri) dan Zulkarnain (kanan) didakwa di Mahkamah Majistret Melaka pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Syarikat pengendali umrah dan dua pengarahnya didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas 27 pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk membuat bayaran semula tuntutan wang kepada sembilan mangsa berjumlah RM229,860.

Syarikat berkenaan, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd dan dua pengarahnya iaitu pasangan suami isteri, Datuk Zulkarnain Endut dan Datin Mazuin Mustafa masing-masing berusia 43 tahun bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Berdasarkan pertuduhan, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd sebagai sebuah syarikat dengan Zulkarnain dan Mazuin, selaku orang kena saman (OKS) didakwa gagal mematuhi TTPM untuk membayar balik tuntutan RM229,860 kepada sembilan penuntut.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Pejabat TTPM Cawangan Melaka, Wisma Persekutuan, Jalan MITC Ayer Keroh di sini antara September tahun lalu hingga April 2024 lalu.

Pendakwaan bagi pasangan suami isteri itu dijalankan mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun, sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Shafiq Mahadi dan Hakiim Izani mencadangkan jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan memandangkan ini merupakan kes berkepentingan awam selain mendapat perhatian dan disebabkan sikap culas tertuduh.

Beliau turut memohon tertuduh melapor diri setiap bulan di KPDN Putrajaya memandangkan tertuduh juga pernah didakwa di empat lagi mahkamah di Putrajaya, Kelantan, Negeri Sembilan dan Johor bagi kes seperti ini.

Tertuduh yang diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan memohon jaminan dikurangkan lebih-lebih lagi syarikat berkenaan tidak lagi dapat beroperasi.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan keseluruhan sebanyak RM5,400 kepada kedua-dua tertuduh selain menetapkan 13 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan supaya pasangan suami isteri itu melapor diri setiap bulan di Ibu Pejabat KPDN di Putrajaya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!