Terengganu idam cipta kejutan
TERENGGANU FC (TFC) bertekad untuk mencipta kejutan ketika berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super pada Jumaat.
Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner mahu para pemainnya bermain dengan semangat luar biasa dan taktikal yang telah diatur dalam usaha meraih mata di laman keramat lawan.
"Semua boleh lihat pasukan kita akan mengharungi jadual perlawanan yang padat bermula dengan perlawanan Liga Super menentang JDT seterusnya Negeri Sembilan FC dan juga separuh akhir kedua Piala FA menentang Selangor FC.
"Saya fokuskan perlawanan menentang pasukan JDT terlebih dahulu. Menentang pasukan besar seperti JDT, kita perlu bermain untuk mendapatkan kemenangan atau sekurang-kurangnya kita berjaya mendapat satu mata.
"Saya ingin pemain saya kekalkan mental dan berani bermain dengan cara kita inginkan," katanya.
Menurutnya, dua perlawanan liga itu sekiranya berjaya meraih keputusan positif akan menjadi rangsangan terbaik untuk aksi timbal balik Piala FA menentang Selangor.
"Matlamat daripada dua perlawanan liga sebelum perlawanan Piala FA adalah untuk mengambil empat mata dan itu akan menjadi rangsangan yang baik untuk perlawanan timbal balik nanti.
"Apa yang pasti saya juga mahu pemain menunjukkan nilai sebenar mereka tanpa dibebani dengan keputusan kerana keputusan akan datang hasil daripada permainan yang baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!