'Konon dokumen pengenalan diri tertinggal di rumah'
SERI KEMBANGAN - Cuba menipu pegawai operasi apabila memberi alasan konon dokumen pengenalan diri tertinggal di rumah. Itu antara helah seorang wanita China yang ditahan di sebuah pusat beli-belah di sini, pada Khamis.
Wanita China dipercayai pengurus sebuah syarikat barangan elektronik yang beroperasi di pusat beli-belah itu antara 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi serbuan berasingan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang.
Semasa pemeriksaan, wanita itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Namun, siasatan lanjut dia gagal memberikan dokumen pengenalannya.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, enam pelbagai operasi dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor di 26 premis termasuk kawasan sekitar di Balakong, Seri Kembangan, Puchong dan Damansara.
Menurutnya, JIM Selangor telah menahan 25 PATI hasil pemeriksaan 299 orang termasuk 87 warga tempatan.
"PATI termasuk tujuh wanita yang ditahan terdiri daripada 13 Indonesia, Bangladesh (8), Sudan (1), Yaman (1), Pakistan (1) dan China (1).
"Pekerjaan mereka ini rata-rata sebagai penjaja, kedai runcit, kedai makan, tukang gunting rambut, pelayan pusat hiburan dan pengurus," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, antara kesalahan dilakukan ialah masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah.
Tambahnya, kesemua PATI berusia 20 hingga 40 tahun dibawa ke Depot Imigresen Semenyih.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!