Taufan Gaemi landa China, Taiwan, filipina

Kenderaan terpaksa meredah banjir di Kaohsiung yang disebabkan Taufan Gaemi. - AFP
Kenderaan terpaksa meredah banjir di Kaohsiung yang disebabkan Taufan Gaemi. - AFP
A
A
A

BEIJING - Taufan Gaemi melanda wilayah Fujian, China pada Jumaat dengan membawa hujan lebat dan angin kencang.

Ribut paling dahsyat yang melanda tanah besar China tahun ini juga sudah mula membadai kawasan pedalaman yang mempunyai ramai penduduk.

Setakat ini, ribut itu meragut puluhan nyawa ketika ia melanda Taiwan dan memburukkan lagi cuaca hujan di Filipina.

Agensi berita Xinhua melaporkan kira-kira 630,000 orang di Fujian terjejas setakat ini, dengan hampir separuh daripada mereka dipindahkan.

Taufan Gaemi membawa angin pada kelajuan 118.8 kilometer sejam pada Khamis malam apabila ia melanda bandar Putian di Fujian, sebelum ia dilaporkan semakin reda kepada kelajuan 100.8 kilometer sejam.

Penduduk membersihkan serpihan yang membanjiri rumah mereka selepas Taufan Gaemi melanda Manila. - AFP
Penduduk membersihkan serpihan yang membanjiri rumah mereka selepas Taufan Gaemi melanda Manila. - AFP

Beberapa jam sebelum ketibaan taufan tersebut, Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, yang diketuai Presiden Xi Jinping, mengadakan mesyuarat untuk membincangkan langkah mengawal banjir dan menggesa anggota aktivis untuk melindungi nyawa penduduk.

Biro cuaca tempatan melaporkan 72 bandar di Fujian mencatat curahan hujan melebihi 250 milimeter (mm), dengan catatan tertinggi mencecah 512.8 mm.

Artikel Berkaitan:

Menjelang petang Jumaat, Taufan Gamei dijangka melanda wilayah Jiangxi, di mana terletaknya tasik Poyang, iaitu tasik air tawar terbesar China.

Pada Khamis, taufan itu melanda Taiwan dengan angin ribut selaju 227 kilometer sejam dan curahan hujan sebanyak 1,800 mm dicatat di kawasan pergunungan selatan pulau itu, yang membanjiri beberapa bandar dan perkampungan. Setakat ini lebih 500 orang cedera dan lima orang maut.

Taufan itu juga menenggelamkan sebuah kapal kargo laut Taiwan dan membunuh 32 orang di Filipina.

Sementara itu, Manila mengisytiharkan 'keadaan malapetaka' selepas berlaku banjir yang meluas. Sebuah kapal tangki marin yang membawa bahan api industri turut karam di pantai negara itu.

Polis berkata, angka kematian akibat banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh Taufan Gaemi dan monsun barat daya telah meningkat kepada 33 nyawa setakat ini. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!