Pihak berkuasa Bali rampas ratusan sate daging anjing
JAKARTA - Pegawai ketenteraman awam di Bali, Indonesia berjaya merampas ratusan sate daging anjing dan puluhan kilogram daging mentah dipulau peranginan terkenal di seluruh dunia itu.
Pada hujung tahun lalu, pihak berkuasa telah menguatkuasa larangan menjual daging anjing di kawasan tumpuan pelancongan di mana pesalah akan berdepan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sebanyak 50 juta rupiah (RM14,625) jika didapati bersalah.
Ketua Agensi Ketenteraman Awam Bali, Dewa Nyoman Rai Dharmadi memberitahu AFP bahawa semasa melakukan pemeriksaan pada minggu ini, pihak berkuasa mendapati tiga penjual daging anjing masih menjalankan aktiviti terebut yang didapati melanggar peraturan tempatan.
Tambahnya, mereka merampas 500 cucuk sate daging anjing daripada seorang penjual di daerah Jembrana dan 56 kilogram daging mentah dari penjual lain di daerah sama.
Bagaimanapun, penjual sate anjing itu hanya menerima amaran kerana tidak pernah ditangkap berniaga sebelum ini manakala dua lagi penjual didapati sebagai pesalah berulang akan dihadapkan di mahkamah tempatan pada bulan depan.
"Kami tidak akan mengambil tindakan undang-undang secara tiba-tiba, tetapi kami memberi mereka peluang untuk mengetahui larangan itu dan mengapa ia diharamkan," kata Dewa. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!