Selisih faham dipercayai motif Naufal dibunuh

Ramasamy bersama dua pegawainya menunjukkan gambar tiga individu yang sedang dikesan pihak polis untuk membantu siasatan kes bunuh di Sandakan.
Ramasamy bersama dua pegawainya menunjukkan gambar tiga individu yang sedang dikesan pihak polis untuk membantu siasatan kes bunuh di Sandakan.
A
A
A

SANDAKAN - Berlaku perselisihan faham dengan abang kepada kenalan wanita, dipercayai motif anak kepada pemilik restoran terkenal di daerah ini dibunuh sebelum mayatnya ditemui di kawasan ladang Kampung Sungai Memanjang.

Susulan daripada itu, polis sedang mengesan tiga individu iaitu Mohd Jasmin Rusman, 24, atau Achok, bersama dua lagi rakannya, Mohamad Zulfaizie Hanafie Mohd Firdaus, 24, dan seorang lagi dikenali sebagai Komeng berusia 20-an untuk membantu siasatan kes tersebut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan Superintenden K Ramasamy berkata, siasatan mendapati mangsa telah berkenalan dan berkawan dengan seorang wanita iaitu adik kepada suspek.

"Berdasarkan maklumat orang hilang, mangsa hilang kira-kira jam 4 petang Ahad lalu. Kali terakhir mangsa dijumpai bersama dengan seorang suspek.

"Mangsa dan suspek sebenarnya ada perselisihan faham dan pagi itu berjumpa untuk berbincang bagi menyelesaikan masalah mereka. Setakat ini, motif adalah perselisihan faham berkaitan dengan hubungan mangsa dan adiknya," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan di sini pada Jumaat.

Mayat Naufal Abdul Rashid, 35, ditemukan selepas pihak polis mendapat maklumat berhubung sebuah kenderaan terbakar di kawasan ladang tersebut.
Mayat Naufal Abdul Rashid, 35, ditemukan selepas pihak polis mendapat maklumat berhubung sebuah kenderaan terbakar di kawasan ladang tersebut.

Susulan daripada itu, Ramasamy berkata, pihaknya kini telah menahan seorang wanita berusia 22 tahun iaitu bekas isteri kepada suspek bagi membantu siasatan.

"Pasukan penyiasat forensik juga masih berada di lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan terhadap kenderaan yang dijumpai.

Artikel Berkaitan:

"Hasil pemeriksaan awal, kami tidak ada menemui apa-apa senjata berkaitan dengan kes ini atau dipercayai diguna untuk membunuh mangsa," katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa pengecaman mayat dan bedah siasat akan dilakukan pada Sabtu memandangkan keadaan mayat yang ditemui dalam keadaan kurang sempurna.

"Mayat ditemukan kira-kira 16 meter dari kenderaan yang ditemukan terbakar tetapi hasil pemeriksaan awal tidak ada apa-apa kesan terbakar pada mangsa.

"Memandangkan kes ini menarik dan keadaan mayat itu sendiri tidak sempurna, jadi pakar dari Kota Kinabalu akan turun menjalankan bedah siasat," jelasnya.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan mayat Naufal Abdul Rashid, 35, ditemukan selepas pihak polis mendapat maklumat berhubung sebuah kenderaan terbakar di kawasan ladang tersebut.

Naufal yang dipercayai anak kepada pemilik restoran terkenal di Sandakan dilaporkan hilang sejak empat hari lalu sebelum ditemukan pada Khamis.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!