Ada pegawai penguat kuasa terlibat aktiviti seludup kerana diugut - Armizan

Armizan (kiri) pada program Town Hall Rakyat yang dihoskan oleh Fikry Ibrahim di Studio Sinar Harian pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Armizan (kiri) pada program Town Hall Rakyat yang dihoskan oleh Fikry Ibrahim di Studio Sinar Harian pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali mendedahkan terdapat pegawai di sebuah badan penguat kuasa terpaksa melibatkan diri dalam aktiviti penyeludupan minyak diesel kerana menerima ugutan pihak tertentu.

Armizan berkata, kes yang didepani oleh beliau itu tidak melibatkan sebarang pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebaliknya, sebuah badan penguat kuasa yang dirahsiakan namanya.

"Salah satu contoh tapi bukan penguat kuasa KPDN, tetapi satu penguat kuasa badan berkanun yang disiasat disebabkan oleh ketirisan dalam penyeludupan subsidi diesel untuk nelayan.

"Bila disiasat dan ditanya, pegawai itu sebenarnya baru berpindah ke kawasan tersebut. Tidak ada niat langsung untuk terlibat tetapi apabila dia masuk dalam ekosistem itu, sebegitu rupa.

"Kalau dia tidak mahu bekerjasama, maka ugutan dan sebagainya akan dihadapi akhirnya dia terpaksa akur dan terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian yang diadakan di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf pada Isnin.

Town Hall Rakyat yang dihoskan oleh pelakon, Fikri Ibrahim itu merupakan platform interaktif untuk rakyat bersemuka dan bertanya pelbagai isu kepada pemimpin yang diundang.

Dalam pada itu, ujar Armizan, kes berkenaan menunjukkan bahawa ada dalam kalangan pegawai penguat kuasa yang terlibat dalam aktiviti penyelewangan minyak diesel bukan disebabkan dorongan faktor wang dan kebendaan semata-mata.

Artikel Berkaitan:

Armizan turut memberi contoh filem arahan pengarah, Syafiq Yusof iaitu Sheriff sebagai gambaran sebenar terhadap keadaan yang didepani oleh pegawai penguat kuasa.

"Walaupun itu filem tetapi itulah realiti. Jadi bukan hanya kerana isu mereka secara peribadi tetapi risiko yang wujud itu telah menyebabkan mereka terjerumus dalam kegiatan tersebut," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!