Jaringan rel Perancis jadi sasaran perbuatan khianat sebelum upacara Olimpik

Kakitangan SNCF dan Gendarmes Perancis memeriksa lokasi yang menjadi sasaran perbuatan khianat
di Croiselles, Perancis Utara. Foto AFP
Kakitangan SNCF dan Gendarmes Perancis memeriksa lokasi yang menjadi sasaran perbuatan khianat di Croiselles, Perancis Utara. Foto AFP
A
A
A

PARIS - Rangkaian rel kereta api berkelajuan tinggi Perancis terjejas teruk selepas disasar beberapa serangan khianat menggunakan api beberapa jam sebelum upacara pembukaan Sukan Olimpik di Paris, lapor dpa memetik pengendali rel SNCF.

"SNCF menjadi mangsa beberapa tindakan khianat serentak yang menjejaskan laluan kereta api berkelajuan tinggi Atlantik, Utara dan Timur," kata firma itu pada Jumaat.

Laluan ke Stade de France, salah satu venue Sukan Olimpik, juga kini ditutup.

Kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan, kata SNCF. Namun, ia menambah bahawa gangguan itu mungkin berlarutan sepanjang hujung minggu.

Olimpik di Paris secara rasmi bermula dengan pertunjukan unik di tengah-tengah Sungai Seine pada Jumaat malam.

Buat pertama kali dalam sejarah Sukan Olimpik Musim Panas, upacara pembukaan tidak akan diadakan di stadium.

Sebaliknya, lebih daripada 200 delegasi negara akan belayar melintasi Sungai Seine melalui pusat Paris dan melewati tempat-tempat terkenal seperti Katedral Notre-Dame, Louvre dan Musée d'Orsay. - Bernama-dpa


800,000 orang terjejas akibat pembatalan perkhidmatan kereta api

Artikel Berkaitan:

PARIS - Seramai 800,000 orang terjejas akibat pembatalan perkhidmatan kereta api berikutan serangan ke atas rangkaian rel kereta api berkelajuan tinggi, lapor dpa memetik syarikat kereta api Perancis SNCF.

SNCF pada Jumaat berkata, kesan pembatalan itu akan dirasai sepanjang hujung minggu ini.

Penumpang menunggu di stesen kereta api Gare Montparnasse di Paris selepas operasi rangkaian kereta api berkelajuan tinggi Perancis tergendala akibat perbuatan khianat yang mengganggu sistem pengangkutan beberapa jam sebelum upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024. Foto AFP
Penumpang menunggu di stesen kereta api Gare Montparnasse di Paris selepas operasi rangkaian kereta api berkelajuan tinggi Perancis tergendala akibat perbuatan khianat yang mengganggu sistem pengangkutan beberapa jam sebelum upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024. Foto AFP

Menteri Pengangkutan, Patrice Vergriete mengumumkan bahawa setiap kereta api kedua ke timur dan utara serta setiap kereta api berkelajuan tinggi keempat ke arah Bordeaux terjejas.

Jurucakap polis Paris, Laurent Nunez dalam kenyataan di laman sesawang penyiar FranceInfo memaklumkan langkah keselamatan sedang ditingkatkan dengan pasukannya menumpukan perhatian di stesen Paris.

Beberapa jam sebelum upacara pembukaan Sukan Olimpik di Paris, individu tidak dikenali melakukan serangan khianat menggunakan api ke atas beberapa kemudahan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi Perancis.

Beberapa perkhidmatan kereta api Eurostar ke Paris telah dibatalkan dan beberapa lagi dilencongkan disebabkan perbuatan khianat itu.

Pengendali kereta api itu pada Jumaat mengesahkan perkhidmatan kereta api mereka akan mengalami kelewatan kerana masalah berterusan di Perancis, lapor Agensi Berita PA. - Bernama-dpa

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!