Tipu e-Kasih: Buruh sekali lagi dihukum penjara, sebat
TAIPING - Seorang buruh yang baru dihukum penjara dan sebat atas kesalahan penipuan berkaitan bantuan e-Kasih, sekali lagi dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas kesalahan serupa.
Tertuduh, Muhammad Halmi Ismail, 49, yang berdepan 18 pertuduhan mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibuat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Di hadapan Majistret Nur 'Atiqah Sapari, tertuduh didakwa atas lapan pertuduhan menipu individu berusia antara 58 hingga 76 tahun sehingga mendorong mereka menyerahkan wang berjumlah RM3,430 kepadanya antara 7 Jun 2022 hingga 23 Jun lepas.
Bagi kesalahan itu, Majistret memerintahkan tertuduh yang merupakan bapa kepada empat orang anak itu dihukum penjara 18 bulan dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, Nur 'Atiqah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.
Pada prosiding di hadapan Majistret R Prabakaran, tertuduh mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan menipu individu berusia antara 58 dan 75 tahun melibatkan wang berjumlah RM4,460 antara 21 Julai 2022 dan 5 Jun lepas.
Bagi kesalahan itu, Majistret memerintahkan tertuduh dihukum penjara 20 bulan dan satu sebatan untuk setiap pertuduhan, dengan hukuman penjara berjalan serentak.
Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di beberapa lokasi sekitar Larut, Matang dan Selama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Nishaalini dan Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin manakala tertuduh diwakili peguam S S Jeyamaran serta Ng Wei Jun dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Pada Khamis, Mahkamah Majistret Lenggong menjatuhkan hukuman penjara 42 bulan dan lima sebatan terhadap tertuduh yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan penipuan berkaitan bantuan e-Kasih.
Sehari sebelumnya, tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara 21 tahun dua bulan dan 14 sebatan oleh Mahkamah Majistret Ipoh atas kesalahan serupa, melibatkan 13 pertuduhan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!