Bawa treler lebih muatan, dua syarikat pengangkutan didenda

Kompleks Mahkamah Melaka.
Kompleks Mahkamah Melaka.
A
A
A

MELAKA - Dua syarikat pengangkutan di negeri ini didenda masing-masing RM4,500 dan RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat kerana membawa muatan berlebihan tiga tahun lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman membuat keputusan itu selepas kedua-dua syarikat iaitu Delta Express (M) Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya, selaku orang kena saman (OKS), Abd Razak Samad, 61, dan Pengarah Syarikat Sri Kuala (M) Sdn Bhd, Datuk Tan Chew Chin,62, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, Delta Express sebagai pengendali berlesen untuk kenderaan semi treler-kontena yang dipandu Mohamad Hanif Mat, 42, didapati menggunakan kenderaan itu di atas jalan raya dengan membawa muatan bahan kaca seberat 71,980 kilogram (kg) iaitu melebihi 27,980 atau 63.59 peratus daripada had muatan yang dibenarkan seberat 44,000kg.

Manakala syarikat Sri Kuala sebagai pengendali berlesen untuk kenderaan semi treler-kargo am yang dipandu G Letchumanan, 54, didapati menggunakan kenderaan itu dengan membawa kelapa sawit seberat 48,760kg iaitu melebihi 12,760 atau 35.44 peratus daripada had muatan yang dibenarkan seberat 36,000 kg.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan semasa kenderaan dipandu ditimbang di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Katil di sini pada 21 Mei 2021 kira-kira jam 10.49 pagi dan 23 Jun 2021, kira-kira jam 2.32 petang.

Kesemua pertuduhan itu dijalankan mengikut Seksyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 57(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM1,000 dan maksimum RM500,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, lori milik Delta Express berkenaan ditahan pada 21 Mei 2021 oleh anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di Plaza Tol Lipat Kajang, Jasin kerana dipercayai telah membawa muatan bahan kaca melebihi BDM kenderaan.

Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan dilesenkan kepada pengendali berlesen Delta Express (M)Sdn Bhd dan diarahkan ke JPJ Bukit Katil untuk tujuan penentuan berat kenderaan.

Artikel Berkaitan:

Mengikut hasil timbangan dilakukan oleh pegawai pengangkutan jalan mendapati BDM kenderaan adalah 71,980kg iaitu lebihan sebanyak 27,980kg atau 63.59 peratus berbanding BDM yang dibenarkan di dalan Permit Kenderaan iaitu 44,000kg.

Satu Notis Penahanan Dokumen Seksyen 79(1) Akta dan Notis Panggilan Temusiasat Seksyen 232 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dikeluarkan untuk siasatan lanjut dan mendapati syarikat melakukan kesalahan membawa muatan melebihi had BDM dibenarkan.

Sementara itu, kenderaan di bawah Syarikat Sri Kuala ditahan oleh anggota trafik di Jalan Hutan Percha, Alor Gajah dan diiring ke JPJ Bukit Katil untuk penentuan berat kenderaan kerana disyaki membawa muatan kelapa sawit melebihi had BDM kenderaan.

Hasil timbangan syarikat didapati melakukan kesalahan seperti di dalam pertuduhan.

Penolong Pegawai Penguat kuasa JPJ Melaka, Ahmad Khairee Izhan Ridzuan yang melakukan pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan kepada setiap pengarah itu bagaimanapun kedua-dua individu tersebut manakala merayu hukuman ringan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,500 dan RM3,000 ke atas OKS atau waran melevi yang dikeluarkan ke atas syarikat jika gagal bayar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!