Hasrat Norkiasatina sambung belajar di Politeknik tidak kesampaian

Shahrel Azwan (kiri) dan Norizad menunjukkan gambar anam sulung mereka yang terkorban dalam kemalangan akibat terlanggar jalan berlubang di Ipoh.
Shahrel Azwan (kiri) dan Norizad menunjukkan gambar anam sulung mereka yang terkorban dalam kemalangan akibat terlanggar jalan berlubang di Ipoh.
A
A
A

TELUK INTAN - Pelajar perempuan yang maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan akibat melanggar lubang di Jalan Ipoh-Lumut, Rabu lalu sepatutnya mendaftar masuk ke Politeknik Sultan Azlan Shah dekat Behrang Isnin ini.

Ibu mangsa, Norizad Md Yusof, 45, berkata, Norkiasatina Najwa,18, akan mengikuti program pengajian Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) di institut terbabit.

Menurutnya, anak sulung daripada empat beradik itu sangat teruja untuk mengikuti pengajian yang diminatinya itu.

"Segala kelengkapan untuk masuk sana telah disediakan malah dia beritahu rasa gembiranya dapat sambung belajar dalam jurusan diminatinya.

"Saya dan suami, Shahrel Azwan Sulaiman, 45, sama-sama ambil cuti untuk hendak hantar dia. Malam kejadian kami bercadang untuk beli beg baharu tetapi sudah ketentuan takdir dia 'pergi' dahulu meninggalkan kami," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bahagia di sini pada Jumaat.

Bagi Shahrel Azwan, walaupun perit untuk terima, keluarga reda dengan kejadian yang menimpa anaknya yang mesra dipanggil kakak itu.

Menurutnya, ketika kejadian, anaknya menemani rakannya untuk membeli barang.

"Dia ada memaklumkan perkara itu tetapi menaiki motosikal berasingan ke Kampar, mungkin mereka lajak ke Ipoh.

Artikel Berkaitan:

"Kami ketahui kejadian itu selepas dimaklumkan oleh polis dan bergegas ke Hospital Batu Gajah. Awalnya tidak percaya anak terlibat tetapi segalanya sudah terjadi," katanya.

Shahrel Azwan berkata, keluarganya setakat ini tidak memikirkan untuk mengambil apa-apa tindakan berikutan kemalangan itu disebabkan keadaan jalan berlubang.

"Kami berterima kasih dengan semua pihak termasuk penduduk yang turut membantu memudahkan urusan pengebumian jenazah," katanya.

Sinar Harian melaporkan sorang pelajar maut apabila motosikal dinaiki hilang kawalan selepas melanggar lubang sebelum digilis sebuah kereta di Jalan Ipoh-Lumut di Ipoh pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian berlaku sekitar jam 1.05 petang melibatkan mangsa yang berusia 18 tahun menunggang motosikal dan seorang wanita berusia 40 tahun memandu kereta.

Siasatan awal mendapati mangsa telah terlanggar lubang di bahu kiri jalan kemudian hilang kawalan dan melanggar fender kiri hadapan sebuah kereta yang dipandu seorang wanita warga tempatan di laluan sama.

Akibat kemalangan tersebut mangsa yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia di Wad Kecemasan hospital berkenaan akibat kecederaan parah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!