KISAS, SMK Jalan Tiga juara Dendang Syair Madani
SHAH ALAM - Pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) dan SMK Jalan Tiga menjuarai pertandingan Dendang Syair Madani anjuran Sinar Harian dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).
Kedua-dua johan pertandingan turut dianugerahkan busana terbaik dan membawa pulang wang tunai RM100, plak serta sijil penyertaan.
Pelajar KISAS, Muhammad Afiq Muhamad Syuhaimin, 19, berkata, dia tidak menyangka dapat memenangi pertandingan bagi kategori tingkatan enam itu kerana latihan yang terhad dalam masa hanya satu minggu.
Bagaimanapun, pihaknya mengakui bersyukur dengan usaha yang membuahkan hasil dan tidak sabar untuk berentap di pentas syair peringkat kebangsaan tidak lagi.
“Saya memang tak sangka boleh menang walaupun sekarang ini sedang tumpukan perhatian kepada peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
“Dari segi persiapan menjelang pertandingan peringkat kebangsaan, saya akan perbetulkan irama dan lenggok syair serta sediakan busana yang lebih cantik,” katanya.
Pemuda tersebut berkata kepada Sinar Harian selepas pertandingan Dendang Syair Madani di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Jumaat.
Naib johan bagi pertandingan tersebut turut membawa pulang RM70 manakala di tempat ketiga RM50 beserta sijil penyertaan.
Pelajar SMK Jalan Tiga, Nur Fatin Atiah Zuraimee, 15, juga senada dengan Muhammad Afiq kerana kemenangan terbabit boleh dijadikan platform mengasah bakat ke peringkat yang lebih tinggi.
Menurut pemenang kategori menengah atas itu, dia mengakui gugup berada di hadapan juri profesional meskipun sebelum ini pernah menyertai beberapa pertandingan syair secara dalam talian.
“Saya memang sukakan syair, deklamasi sajak dan aktiviti tarian.
“Seminggu sahaja masa yang saya peruntukkan untuk berlatih kerana perlu utamakan pelajaran dahulu, Alhamdulillah berjaya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Juri, Roslan Madun berkata, program seperti ini perlu diadakan lagi pada masa hadapan agar bakat anak muda digilap dan dicungkil sejak awal lagi.
Tambah beliau, pertandingan adalah satu proses, bukannya perlumbaan dan jika peserta berfikiran sebegitu, ia berupaya menghilangkan nilai syair itu sendiri
“Pertandingan memang wajar dilakukan, tetapi tidaklah sampai ke tahap terasa hati kalau tak menang kerana ia proses yang perlu dilalui sahaja.
“Saya sentiasa mengalu-alukan penganjuran seperti ini kerana ia adalah usaha murni untuk mengangkat sastera lama,” jelas Roslan lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!