Lebih banyak badan korporat bantu gerakkan Inisiatif Rahmah Madani

Armizan pada program Town Hall Rakyat sempena Karnival Rakyat Karangkraf di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Armizan pada program Town Hall Rakyat sempena Karnival Rakyat Karangkraf di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjemput lebih banyak badan korporat dan swasta membantu kerajaan menggerakkan Inisiatif Rahmah Madani (IRM).

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, IRM memberi fokus untuk menggalakkan sektor korporat dan swasta tampil dengan program masing-masing bagi menangani kos sara hidup.

"Alhamdulillah pelbagai pihak yang tidak memerlukan satu sen pun dana dan peruntukan daripada kerajaan telah melaksanakan program-program ini.

"Baru-baru ini di Perak saya juga juga telah buat prapelancaran IRM swasta yang dinamakan Ihsan Cashback iaitu sekiranya pengguna membeli menggunakan kad, mereka dapat pulangan tunai (cashback)," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Town Hall Rakyat Bersama Armizan Mohd Ali sempena Karnival Rakyat Karangkraf di Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.

Program bual bicara berkenaan dihoskan pengacara popular, Fikry Ibrahim.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Papar itu berkata, IRM merupakan pengukuhan kepada agenda Payung Rahmah yang diilhamkan bekas Menteri KPDN, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Menurutnya, ia menjadi pendekatan yang bukan hanya merentasi kerajaan tetapi bersifat 'whole of nation'.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, berdasarkan kajian dan laporan yang dibuat, setakat ini agenda Rahmah didapati memberi impak yang positif kepada rakyat dalam menangani isu kos sara hidup.

"Hujung tahun lepas kita telah melaksanakan kajian bersama konsultan yang kita lantik. Secara ringkas didapati sebanyak 81 peratus respondan mengakui program Payung Rahmah ini telah mendatangkan impak positif dalam mereka menangani kos sara hidup.

"Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) juga mengeluarkan laporan kajian analisis tanggungjawab pengguna pada tahun 2023 yang menyebut bahawa program Jualan Rahmah telah menjadi inisiatif membantu isu kos sara hidup dan harga pengguna di akar umbi," ujarnya.

Justeru, kata Armizan, secara ringkasnya agenda Payung Rahmah sememangnya menjadi satu inisiatif yang baik dan membentuk intervensi dalam memberikan tawaran harga barang murah hingga 30 peratus kepada masyarakat khususnya kepada golongan yang memerlukan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!