TTPM rekod 900 aduan pengguna sejak Januari - Armizan

Armizan ketika program Town Hall Rakyat sempena Karnival Rakyat Karangkraf di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Armizan ketika program Town Hall Rakyat sempena Karnival Rakyat Karangkraf di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia perlu memanfaatkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bagi memastikan hak mereka sebagai pengguna terpelihara dan terbela.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tribunal tersebut merupakan platform aduan yang mudah, kos efektif dan murah untuk pengguna sekiranya terdapat isu melibatkan perusahan atau perniagaan tertentu.

''Namun tidak semua aduan boleh dibawa ke TTPM, ada juga (aduan) yang boleh diselesaikan oleh penguatkuasa KPDN (Kementerian Perdangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) menerusi siasatan dan tindakan lanjut, tidak perlu ke mahkamah.

''Saya harap platform ini dapat diuar-uarkan supaya lebih ramai pengguna tidak berdiam diri sekiranya ada pembelian mereka terlibat penipuan dari segi kualiti. Jangan ragu-ragu untuk bawa aduan ke TTPM,'' katanya dalam program Town Hall Rakyat sempena Karnival Rakyat Karangkraf pada Jumaat.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, kira-kira 900 aduan pengguna telah direkodkan TTPM bermula Januari hingga Jun lalu dan jumlah tersebut meningkat berbanding yang direkodkan dua tahun lalu.

Menurutnya pada tahun 2022, hanya kira-kira 500 aduan direkodkan TTPM dan jumlah itu meningkat kepada lebih 900 kes pada 2023.

''Sebagai Menteri KPDN, saya gembira kerana angka menunjukkan ramai rakyat Malaysia telah mempunyai akses untuk menggunakan platform yang disediakan kerajaan.

''Secara tidak langsung mereka ada saluran untuk membuat aduan dan menyelesaikan pertikaian melibatkan perniagaan tertentu. hak mereka sebagai pengguna juga terbela,'' ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!