Pandu uji MG ZS EV, MG4 EV di Karnival Rakyat Karangkraf
BAGI yang belum pernah memandu kereta elektrik (EV), anda berpeluang memandu uji edisi terbaharu hatchback MG4 EV dan kenderaan utiliti sukan (SUV) MG ZS EV di reruai MG Motor Malaysia pada Karnival Rakyat Karangkraf sehingga Ahad ini.
Ketua Pegawai Operasi MG Motor Malaysia, Lee Wen Hsiang berkata, mereka yang menempah kedua-kedua jenis kenderaan pada promosi sempena bulan Julai ini layak menerima tinted film dan wall box percuma bernilai RM5,888.
Menurutnya, MG4 dan MG ZS masing-masing mampu melakukan perjalanan sejauh 350 kilometer tanpa sebarang pengecasan bateri.
“Cuma kenderaan lima penumpang ini bezanya adalah dari segi saiz dan keluasan dalaman di mana sudah tentu MG4 lebih kecil dengan 4 pilihan varian manakala MG ZS yang lebih besar dan selesa namun hanya mempunyai 1 varian sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Tambahnya, dari segi kualiti kedua-dua jenis keluaran MG ini adalah setanding jenama BMW dan Mercedes dengan harga yang ditawarkan bermula RM104,000 (MG4) dan RM126,000 (MG ZS) dengan bayaran pinjaman bulanan yang rendah.
“MG4 mempunyai tujuh pilihan warna manakala MG ZS mempunyai empat pilihan warna dan masing-masing mempunyai jaminan bateri selama tujuh hingga lapan tahun,” katanya.
Wen Hsiang berkata, bagi setiap pembelian kenderaan EV tahun ini sehingga 2025 kerajaan tidak mengenakan sebarang bayaran cukai jalan.
“Cukai jalan untuk kenderaan EV hanya akan bermula pada tahun 2026 dan bagi kenderaan keluaran MG cukai jalan adalah bermula dari RM120 hingga RM1020 setahun,” katanya.
Untuk maklumat lanjut layari www.mgmalaysia.com atau Facebook, Instagram, TikTok, YouTube @MGmotorMY.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!