KPT, KPM bekerjasama kurangkan jurang modul STEM

Mustapha (tengah) menerima cenderahati penghargaan selepas hadir pada Program Borak STEM di Kuala Lumpur pada Khamis.
Mustapha (tengah) menerima cenderahati penghargaan selepas hadir pada Program Borak STEM di Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengurangkan jurang silibus dan modul subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di peringkat sekolah dengan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Timbalan Menterinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, ia kerana di peringkat KPM terdapat pelbagai modul STEM yang menjadi cabaran untuk memartabatkan bidang itu di peringkat pengajian tinggi.

Katanya, strategi tersebut akan dapat merapatkan laluan pendidikan dan menyelaraskan kurikulum bagi meningkatkan kemasukan pelajar dalam bidang STEM seterusnya memenuhi keperluan industri.

“Kita sudah berbincang dengan KPM untuk pastikan ramai pelajar akan masuk ke aliran STEM di IPT sebab di peringkat KPM ada pelbagai modul. Jadi kita mahu pastikan jurang modul berkenaan dirapatkan.

“KPM juga sedang berusaha memastikan pelajar yang dilahirkan akan dapat memenuhi syarat-syarat asas untuk masuk ke aliran STEM di IPT yang telah ditetapkan Unit Pusat Universiti (UPU), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan universiti-universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Borak STEM yang dianjurkan secara bersama oleh KPT, Persatuan STEM Kebangsaan dan Pandai Education di ibu negara pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mustapha menjelaskan, pelbagai kolaborasi dilakukan KPT untuk mewujudkan ekosistem STEM di negara ini bagi mendukung polisi kerajaan terutamanya dalam Kerangka Ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).

Menurutnya, kolaborasi itu termasuklah dengan pihak industri menerusi penubuhan Badan Koordinasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) KerajaanIndustri (GITC) yang melibatkan 60 badan profesional industri dan 10,000 syarikat.

Artikel Berkaitan:

“Dari segi kurikulum pula, kita sudah buat transisi daripada teori kepada pembelajaran berasaskan kerja (WBL).Kita mahu pastikan pembelajaran yang melibatkan teknologi akan jadi 70 peratus praktikal dan 30 peratus teori menerusi program 2U2I iaitu dua tahun di universiti dan dua tahun di industri.

“Kita juga perkenalkan program ijazah perantisan yang bermula di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Kita mahu ada sistem mentor supaya mahasiswa ada mentor sendiri dan boleh berhubung terus dengan industri,” ujarnya.

Mustapha menegaskan, universiti perlu melahirkan bakat-bakat tempatan kerana ia menjadi kunci kepada negara untuk maju berasaskan teknologi tinggi seterusnya dapat memenuhi kehendak industri sekali gus menyediakan gaji premium kepada graduan.

“Keperluan industri memang banyak. Untuk bidang kecerdasan buatan (AI) sahaja menjelang 2030, kita perlukan seramai 200,000 pakar. Tapi setakat ini berdasarkan statistik, kita hanya mampu lahirkan 1,800 graduan setahun melibatkan 13 universiti.

“Jadi sekarang ini kita sedang berusaha untuk penuhi keperluan berkenaan dan antara perkara yang telah dibuat, kita telah wujudkan fakulti AI pertama di negara ini iaitu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM),” tambahnya.

Beliau berkata, meskipun kerajaan baharu sahaja memberi penekanan kepada STEM namun kadar kebolehpasaran graduan bidang tersebut ketika ini juga sangat tinggi iaitu mencapai 93.1 peratus dan menunjukkan bakat tempatan tersebut menjadi rebutan industri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!