Mak Menah sudah tiada
MELAKA - Watak yang popular di media sosial TikTok, Mak Menah dari Kampung Sungai Putat di sini meninggal dunia di rumahnya di Kampung Sungai Putat pada pagi Jumaat.
Berita sedih itu dikongsikan oleh pempengaruh media sosial, OtamBlurr atau nama sebenarnya Mohd Rustam Johari, 37, yang juga merupakan sepupu kepada Mak Menah atau nama sebenarnya, Allahyarhamah Ramnah Abdul Ghani, 58.
OtamBlurr ketika dihubungi Sinar Harian berkata, Allahyarham yang telah menjalani pembedahan potong kaki kiri pada minggu lalu disahkan oleh pegawai perubatan meninggal dunia pada jam 8.45 pagi.
Menurutnya, arwah disahkan meninggal dunia akibat hipotermia dan jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Putat selepas solat Jumaat.
"Sedih bila ceritakan, walaupun tak rapat tapi banyak video kenangan bersamanya.
"Kalau datang rumah dia, memang tak kedekut nak bagi makan, walau biskut kering cicah air kopi, Itulah antara kebaikan arwah," katanya.
Terdahulu menerusi siaran langsung di akaun TikTok, OtamBlurr turut menceritakan arwah terpaksa menjalani pembedahan pada minggu lalu selepas kakinya terpijak paku sebelum dibenarkan pulang ke rumah pada minggu ini.
Telatah arwah yang ceria sering dikongsikan pempengaruh media sosial itu yang menghiburkan hati orang ramai dengan percakapan orang Melaka.
Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut menghubungi OtamBlurr dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarganya.
Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee turut berkesempatan menziarah selepas arwah dibenarkan keluar dari Hospital Melaka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!