Tindakan serampang dua mata NACCOL tingkat pendapatan rakyat

Armizan dalam program Town Hall Rakyat sempena Karnival Rakyat Karangkraf di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Armizan dalam program Town Hall Rakyat sempena Karnival Rakyat Karangkraf di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan melaksanakan pendekatan serampang dua mata bagi memastikan pendapatan rakyat dapat ditingkatkan pada masa akan datang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tindakan tersebut bagi memastikan rakyat mampu menghadapi situasi kenaikan harga barang.

''Apabila pendapatan rakyat tinggi, mereka boleh menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut sekali gus menangani isu sara hidup yang berbangkit.

''Justeru pendekatan NACCOL sekarang bukan hanya melihat kepada harga barang dan kos sara hidup tetapi aspek menjana serta meningkatkan pendapatan rakyat.

''Kita perlu seimbangkan kawalan harga, pastikan harga barangan stabil tetapi tidak lupa melihat bagaimana nak meningkatkan pendapatan rakyat itu sendiri,'' katanya dalam program Town Hall Rakyat sempena Karnival Rakyat Karangkraf di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.

Dalam pada itu Armizan menjelaskan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengumumkan kenaikan gaji lebih 13 peratus bagi penjawat awam mulai 1 Disember depan.

Selain itu ujarnya, Kementerian Ekonomi akan melaksanakan Dasar Gaji Progresif bagi memastikan sektor swasta tidak terkecuali untuk menikmati peningkatkan kadar upah.

''Begitu juga STR (Sumbangan Tunai Rahmah) yang menjadi bantuan tunai tertinggi dalam sejarah kerajaan (berbanding) pentadbiran lepas.

Artikel Berkaitan:

''Kalau ada pihak yang mengatakan kerajaan hari ini tarik subsidi atau hapus subsidi, hakikatnya tahun 2023 adalah kadar subsidi tertinggi dalam sejarah negara,'' katanya.

Sementara itu beliau turut mengingatkan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyaluran subsidi untuk mematuhi undang-undang sekali gus mengelakkan berlakunya ketirisan dan penyelewengan.

''Sekiranya didapati bersalah, mereka perlu berhadapan dengan tindakan mahkamah dan bukan datang jumpa menteri.

''Saya tidak mahu melayan mana-mana pihak yang dikenakan tindakan kerana bagi saya, mereka perlu mengetahui negara ini ada undang-undang melibatkan perlindungan pengguna,'' tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!