KPDN tentukan destinasi hantar minyak masak subsidi

Program Town Hall Rakyat bersama Armizan di Studio Sinar Harian pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Program Town Hall Rakyat bersama Armizan di Studio Sinar Harian pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini menentukan destinasi penghantaran minyak masak subsidi yang sebelum ini ditentukan oleh syarikat tersebut berdasarkan permintaan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, syarikat pembungkusan semula minyak masak paket subsidi perlu mematuhi peraturan baharu yang telah ditetapkan.

Menurutnya, KPDN akan mengambil alih penentuan lokasi penghantaran bagi memastikan bekalan minyak masak subsidi sampai ke tempat yang betul dan memenuhi keperluan sebenar.

“Dulu syarikat-syarikat pembungkusan semula bebas mengedarkan minyak masak subsidi ke mana-mana berdasarkan permintaan. Namun, setelah audit terbaru, KPDN telah memulakan intervensi dengan segera.

“Sekarang, KPDN yang akan menentukan lokasi penghantaran untuk pasar raya dan kedai runcit bukan lagi syarikat-syarikat tersebut. Kami akan menyediakan senarai lokasi yang diperlukan dan jika syarikat tidak mematuhi arahan ini, kuota mereka akan ditarik balik.

“Kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang ketidakpatuhan dan akan memastikan bekalan sampai ke golongan yang memerlukannya,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf, di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, KPDN akan mendedahkan senarai syarikat pembungkusan semula minyak masak bersubsidi yang dikenal pasti terbabit dalam penyelewengan.

Kementerian tersebut telah menjalankan audit minyak masak paket bersubsidi sebelum mengumumkan senarai syarikat terbabit penyelewengan dan ketirisan subsidi barang keperluan itu.

Mengulas lanjut, menurut Armizan, setiap negeri akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak yang memerlukan bekalan agar ia sampai kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, setiap negeri sedang menentukan premis peruncitan yang memerlukan bekalan di setiap daerah.

“Kini, di setiap negeri, kami akan mengadakan libat urus dengan pihak-pihak yang memerlukan bekalan agar ia sampai kepada rakyat.

“Ketua cawangan KPDN di setiap daerah akan menyusun senarai tersebut, dan kami akan berhubung dengan syarikat untuk mengagihkan bekalan berdasarkan senarai ini. Kami akan memantau dan memastikan penghantaran dibuat mengikut senarai yang ditetapkan,” ujarnya.

Sementara itu, Armizan berkata, semua program jualan Rahmah wajib menyediakan minyak masak paket untuk memastikan ia sampai kepada golongan sasar yang memerlukannya.

Tambah beliau, kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam ketirisan barang-barang subsidi.

“Kami telah memutuskan bahawa mulai sekarang, semua program jualan Rahmah wajib menyediakan minyak masak paket.

“Jika sebelum ini ada jualan Rahmah yang tidak menawarkan minyak paket, kini syarikat yang ditetapkan akan membekalkan minyak masak paket ke program-program ini di seluruh negara untuk memastikan bekalan minyak sampai kepada golongan sasar yang memerlukannya.

“Kami tidak akan memenuhi semua permintaan secara automatik, sebaliknya memastikan bekalan sampai dengan betul dan memberi tumpuan kepada mana-mana kawasan yang memerlukan perhatian khusus untuk mengelakkan ketirisan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!