KDA FC kempunan kutip tiga mata
JARINGAN lewat Kuching City melalui sepakan penalti Jordan Mintah pada hujung perlawanan menyaksikan kelab itu mengikat Kedah Darul Aman (KDA) FC 1-1 pada saingan Liga Super 2024-2025 di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat.
Penalti tersebut dibenarkan pengadil perlawanan selepas pertahanan tuan rumah, Irfan Zakaria menjatuhkan Kipre Tcheche dalam kotak penalti hasil pemeriksaan dengan bantuan video penalti pengadil (VAR)
Jaringan Mintah itu yang dijaringkan pada minit ke-93 berjaya menyamakan kedudukan yang diperolehi oleh tuan rumah menerusi Hasbullah Abu Bakar pada minit ke-60.
Pada perlawanan tersebut, Sang Kenari bimbingan Nafuzi Zain dilihat bersemangat turun dengan jersi baharu yang dilancarkan pada malam Khamis untuk memburu tiga mata penuh di laman sendiri.
Namun skuad Kuching City bimbingan Aidil Sharin Sahak berjaya menyerap setiap serangan yang dilakukan oleh Sang Kenari yang dibarisi Syafiq Ahmad, Sony Norde, Milos Gorlic dan Ebenezer Assifuah.
Keputusan tersebut menyaksikan KDA FC kini berada di tangga kelima Liga Super dengan tujuh mata dan Kuching City di tangga keenam juga dengan tujuh mata selepas enam perlawanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!