Pertandingan Mencari Siti bakal hangatkan hari kedua Karnival Rakyat Karangkraf

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali (depan, kanan) menyempurnakan perasmian Karnival Rakyat Karangkraf yang berlangsung penuh meriah pada Jumaat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali (depan, kanan) menyempurnakan perasmian Karnival Rakyat Karangkraf yang berlangsung penuh meriah pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kehangatan Karnival Rakyat Karangkraf 2024 diteruskan lagi pada Sabtu menerusi pertandingan SinarPlus Mencari Siti dan pelbagai lagi program menarik lain.

Pertandingan SinarPlus Mencari Siti itu akan berlangsung di pentas utama Dataran Kumpulan Karangkraf di sini, pada jam 3 petang.

Cabaran berkenaan dijangka disertai lebih 50 wanita bernama Siti yang akan berentap menonjolkan bakat dan kemahiran masing-masing untuk membawa gelaran Siti sebagai wanita Melayu terakhir.

Di pentas utama juga akan berlangsung program Tarian Singa, demonstrasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Simfoni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

Auditorium Kumpulan Karangkraf pula akan dimeriahkan dengan cabaran 'Couple' Bikin Romantis, Busana Tradisional Cilik dan Persembahan Deklamasi Puisi Penyair.

Sementara itu, di Studio My#QuranTime (MQT) akan diadakan pertandingan Bercerita dan pertandingan Sajak Bank Rakyat manakala di padang bakal diadakan Sukaneka Kampung dan Permainan Laman.

Aktiviti-aktiviti lain juga akan terus berlangsung seperti SinarPlus Makan Fest, Sukan Rakyat, Rumah Puaka Nusantara, Fiesta Kucing Tomkraf, Jualan Buku Karangkraf, Jualan Rahmah dan cabutan bertuah harian.

Fiesta Kucing Tomkraf antaranya menawarkan Pertandingan Pakaian Kucing Tercantik, Program Kucing Angkat, Klinik Tomkraf (Ubat cacing kucing percuma dan vaksinasi kucing), Spa Tomkraf dan promosi jualan makanan kucing Tomkraf.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk terus hadir memeriahkan karnival tersebut yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat bagi mengembalikan nostalgia zaman dahulu menerusi tema tradisional dan kerakyatan membabitkan dua komponen utama iaitu sukan rakyat dan pentas rakyat.

Karnival itu turut memberikan peluang kepada pengunjung untuk memenangi motosikal dan pakej umrah dalam sesi cabutan bertuah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!