Kelantan gagal saingi Perak di Kota Bharu
HASRAT Kelantan Darul Naim (KDN) FC untuk meraih kemenangan kedua musim ini di laman sendiri tidak kesampaian apabila tewas 1-3 kepada Perak FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Jumaat.
Separuh masa pertama kedua-dua pasukan bermula agresif menyaksikan dua kelab bawahan liga itu saling mengasak dalam keadaan padang yang licin selepas perlawanan ditunda selama 50 minit berikutan hujan lebat.
Pemain sayap Mohamad Fazrul Amir Md Zaman hampir membuka gol pertama Kijang Emas kendalian Park Jae-hong apabila bijak melepasi perangkap ofsaid hasil lorongan kapten pasukan, Oday Ali Abdalrahim Kharoub namun percubaannya melepasi palang gol pada minit ke-12.
Pada perlawanan itu, pengadil perlawanan, Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman melayangkan kad kuning terhadap Luciano Guaycochea selepas kapten Perak tersebut mengasari Oday Kharoub pada minit ke-28.
Dalam pada itu, penjaga gol Kijang Emas, Khatul Anuar Md Jalil tampil cemerlang di gawangnya apabila menafikan beberapa percubaan The Bos Gaurus dalam perlawanan tersebut.
Dua minit sebelum separuh masa pertama berakhir, Bos Gaurus kendalian Yusri Che Lah berjaya memperoleh gol pembukaan menerusi Muhammad Firdaus Saiyadi yang tenang menyudahkan hantaran rakan sepasukan.
Separuh masa kedua, Perak memperkemaskan permainan menyaksikan Guaycochea menambah luka Kijang Emas apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-56 selepas Wan Zack Haikal Wan Nor dijatuhkan Kim Lik Wan dalam kotak penalti pasukan tuan rumah.
Guaycochea sekali lagi menjadi duri dalam daging apabila menambah gol pasukan pelawat pada minit ke-79 selepas percubaannya menewaskan Khatul Anuar buat kali ketiga.
Bagaimanapun Kijang Emas yang tidak mengalah akhirnya berjaya mengurangkan defesit apabila pemain muda, Muhammad Syahir Ab Rashid tenang menyudahkan lorongan Kyung-Hwan Bae untuk kedudukan 1-3 di Kota Bharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!