Derma salah, tak derma salah
BILA orang politik sibuk bertempur bagi merebut kuasa, keamanan masyarakat akan terus menjadi mangsa permainan mereka.
Belum reda bahang dua pilihan raya kecil (PRK) yang berkesudahan dengan seri satu sama, perbalahan politik kembali hangat dengan isu sumbangan derma kepada sekolah vernakular.
Isu tercetus apabila sebuah syarikat minuman keras terlibat sebagai penganjur satu majlis mengutip derma sekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tche Min di Sungai Pelek, Sepang, baru-baru ini di mana seorang Timbalan Menteri dan dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut hadir ke majlis tersebut.
Majlis penyerahan replika cek sebagai simbolik sumbangan derma terkumpul sebanyak RM3.17 juta untuk tujuan pembangunan sekolah langsung diabaikan, yang politikus nampak hanyalah logo syarikat minuman keras dan Timbalan Menteri yang berbangsa Melayu dan beragama Islam turut berada di pentas bersama replika cek tersebut.
Bagai bola tanggung yang dilibas tekong, gambar penyerahan replika cek tersebut ditular dan diselit dengan pelbagai reaksi yang waras dan kurang waras sehingga mengundang pelbagai sentimen 3R ke dalam ruangan perbincangan media perdana dan media sosial.
Yang menderma dikutuk, yang tidak menderma pula cuba menangguk di air keruh, mungkin inilah persepsi masyarakat Madani yang cuba dibentuk oleh pihak tertentu yakni sebuah masyarakat yang sering terperangkap dalam polemik perkauman yang tiada kesudahan.
Walaupun surat pekeliling Kementerian Pendidikan bertarikh Mac 2018 menyatakan sumbangan kepada sekolah tidak melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah dan minuman keras, namun sejak Mac 2018 hingga kini, biarpun telah beberapa kali kerajaan dan perdana menteri bertukar, program sumbangan dana dan derma kepada sekolah oleh syarikat swasta pelbagai kategori tidak pernah terhenti dan tidak pernah dijadikan isu oleh mana-mana parti politik.
Hanyalah selepas dua PRK dan bakal berlangsung satu lagi PRK di Kelantan, isu derma kepada sekolah dijadikan sasaran dan secara kebetulan pula ia berfokus hanya kepada sekolah vernakular.
Seperti kaum-kaum lain, masyarakat Tionghua amat komited dalam isu pendidikan. Institusi sekolah dilihat sebagai antara institusi keramat yang wajib dibantu dalam apa jua cara atas prinsip ‘biar hidup miskin tetapi jangan abaikan pendidikan’.
Walaupun tidak pernah reda suara-suara sumbang daripada golongan tertentu yang mendesak agar sekolah vernakular diharamkan dan ditutup, desakan tersebut tidak pernah mematahkan semangat masyarakat Tionghua untuk membangunkan sekolah dan pendidikan kerana seperti mana semangat sahabat Melayu kita yang teguh mempertahankan dan memperkasakan institusi agama, pemerkasaan sekolah dan pendidikan dianggap antara batu asas masyarakat Tionghua yang wajib dipertahan turun-temurun.
Atas kesedaran tersebut dan juga pasrah dengan realiti bahawa peruntukan Kementerian Pendidikan tidak pernah cukup untuk diagihkan secara seimbang kepada semua sekolah, maka sekolah vernakular sejak beberapa dekad dulu giat mengadakan pelbagai program untuk mengumpul dana.
Banyak syarikat swasta turut memainkan peranan penting dalam mendermakan sebahagian keuntungan perniagaan mereka kepada sekolah bagi menyokong operasi dan pembangunan infrastruktur sekolah-sekolah tersebut.
Kenapa tiba-tiba menderma kepada sekolah dikritik bagaikan satu dosa besar berbanding perbuatan menyebar kebencian dan hipokrasi menunggang agama?
Wajarkah sekiranya institusi sekolah dan pemerkasaan mutu pendidikan bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan yang kini sudah dibebani hutang negara melepasi paras trilion?
Barangkali kita lebih cenderung berkelahi daripada bermadani.
* Lim Chee Wei ialah anak jati Kedah yang minat filem retro.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!