Lelaki buta mata selepas tampar lalat hinggap di muka
BEIJING - Seorang lelaki di China telah buta sebelah mata selepas menampar seekor lalat dikenali sebagai dry fly yang hinggap di mukanya baru-baru ini, lapor South China Morning Post.
Wu dari Shenzen dilaporkan buta mata kiri selepas terkena jangkitan kuman dipercayai dibawa lalat itu semasa ia sedang berlegar-legar di atas kepalanya.
Selepas menampar serangga itu, mata kirinya tiba-tiba menjadi merah sebelum bengkak di sekeliling kelopak matanya.
Semasa mendapatkan rawatan lanjut, akhirnya doktor mengesahkan Wu dijangkiti konjuktivitis atau radang mata bermusim.
Walaupun mengambil ubat seperti disarankan doktor, keadaannya tidak berubah dan penglihatannya semakin merosot teruk.
Doktor yang melakukan pemeriksaan lanjut mendapati kawasan di bahagian dalam mata Wu telah mengalami ulser dan tiada ubat dapat menyembuhkankanya kecuali terpaksa membuang mata tersebut.
Menurut laporan akhbar tempatan, Wu berkemungkinan terkena 'racun' dari serangga kecil yang hidup di dalam air longkang kotor.
Jadi, lalat tersebut didapati membawa kuman sehingga menjejaskan mata Wu dan terpaksa dibuang.
Selepas kejadian yang jarang berlaku itu, doktor menasihatkan orang ramai supaya tidak menampar atau memukul serangga yang berlegar-legar di bahagian sensitif penting seperti mata dan telinga.
Jika berlaku, mereka dinasihatkan menanggalkan serangga perlahan-lahan dan kemudian mencuci bahagian tersebut dengan air bersih atau larutan air garam. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!