Perangi kartel demi kelangsungan hidup rakyat
KARTEL yang mengawal harga, pasaran, pengeluaran dan tipuan bida pastinya sekarang tidak senang duduk dengan tindakan agresif kerajaan membendung aktiviti kumpulan itu.
Sehingga tahun ini, dilaporkan kerajaan telah mengeluarkan penalti keseluruhan mencecah RM570 juta kepada kira-kira 100 perusahaan yang terlibat dalam aktiviti kartel berkenaan sejak penubuhan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali pada Jumaat berkata, sehingga kini terdapat sebanyak 18 kes yang masih dalam siasatan kementeriannya termasuk 14 kes melibatkan tipuan bida.
Menurutnya, kes tipuan bida cukup penting untuk disiasat kerana ia merupakan satu bentuk sabotaj kepada agenda kerajaan.
Angka tipuan bida yang masih dalam siasatan berkenaan secara langsung menunjukkan keseriusan jenayah tersebut yang mungkin sebelum ini tidak diketahui oleh majoriti rakyat tetapi ia memberi kesan cukup besar kepada perolehan negara.
Seperti diketahui kadar hutang negara yang semakin bertambah memerlukan Malaysia untuk meningkatkan perolehan dan pendapatan.
Jika ada lebihan pendapatan ia juga dapat menampung perbelanjaan pengurusan selain untuk pembangunan negara.
Kementerian Kewangan (MOF) menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen pada 15 Julai lalu memaklumkan bahawa bagi Januari hingga April 2024, hutang kerajaan meningkat sebanyak RM50 bilion kepada RM1.22 trilion berbanding RM1.17 trilion setakat akhir 2023.
Oleh itu, dengan pelbagai langkah kerajaan membendung kegiatan kartel khususnya di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diharap bukan sahaja dapat meningkatkan hasil bahkan ia membantu kelangsungan hidup rakyat.
Ia kerana kewujudan kartel bukan sahaja akan mengakibatkan harga sesuatu barang meningkat malah turut menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran yang menyusahkan semua pihak.
Hukuman lebih tegas seperti pemenjaraan juga mungkin perlu dikenakan terhadap individu yang mendalangi kewujudan kartel supaya jenayah tersebut dapat diperangi hingga ke akar umbi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!