Bekas menteri, Siti Zaharah Sulaiman meninggal dunia

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman meninggal dunia pada jam 11.23 malam tadi.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Samsuddin di Facebooknya.

Allahyarham, bekas Ketua Wanita UMNO dan bekas Ahli Parlimen Paya Besar, berusia 75 tahun.

"Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman baru sahaja di jemput menemui penciptanya (11:23pm). Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman.

"Banyak Arwah titipkan nasihat dan pesanan kepada saya selama ini. Pastinya akan saya simpan kemas dalam hati sebagai azimat dan panduan, " katanya.

Sementara itu, anak sulung kepada Siti Zaharah, Timoer Dzakry Samarudin memberitahu Bernama, ibunya meninggal dunia di Hospital Serdang, dekat sini.

Beliau berkata jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam, Selangor pada 11.30 pagi ini.

Anak perempuan Siti Zaharah, Siti Amalia turut berkongsi berita sedih itu di laman Facebooknya.

Artikel Berkaitan:

"Inna lillaahi wa inna ilaihi rooji'un. Al-Fatihah. Semua yang ada tidak ada yang kekal. Setiap yang hadir dalam hidup akan kembali kepada Pencipta-Nya. Damailah ibu di sana.

"Terima kasih Ya Allah kerana meminjamkan ibu yang telah banyak berkorban dan penyayang kepada kami... sungguh, telah pergi nikmat yang besar ini. Moga kami terus menjadi hamba-Mu yang bersyukur," katanya.

Siti Zaharah yang juga Pengerusi Institut Kemajuan Wanita Malaysia (IKWAM) dilahirkan pada 24 April 1949 dan pernah memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan antaranya Timbalan Perancangan, Dewan Bahasa dan Pustaka (1980-1986), Timbalan Menteri, Jabatan Perdana Menteri (1986), Timbalan Menteri Kesihatan (1995-1999) dan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat (1999-2004).

Dalam politik, beliau pernah memegang jawatan Ketua Wanita UMNO Pahang, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ahli Parlimen Mentakab, Ahli Parlimen Paya Besar dan Ketua Wanita UMNO. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!