[VIDEO] Harimau kumbang baham kambing masuk perangkap
SUNGAI SIPUT - Seekor harimau kumbang yang dilaporkan sering membaham ternakan milik penduduk di Ladang Jalong di sini, sejak bulan lalu berjaya ditangkap pada Jumaat.
Harimau jantan seberat 42 kilogram itu telah memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak sejak 20 Jun lalu.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, harimau kumbang tersebut merupakan binatang buas kedua yang masuk perangkap di lokasi sama dalam tempoh tiga minggu.
"Perangkap tersebut masih aktif selepas kita berjaya tangkap harimau belang 'Yop Jalong' pada 3 Julai lalu.
"Kita percaya spesis ini masuk pada tengah malam dan pemeriksaan mendapati terdapat kesan kecederaan pada muka dan mulut akibat melanggar perangkap," katanya di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, harimau berusia empat tahun itu akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai untuk rawatan sebelum dilepaskan semula ke habitat asal.
Tambah Yusoff, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan berikutan masih menerima aduan berkaitan kehadiran harimau di lokasi tersebut.
Sementara itu, Ahmad Dhani, 41, berkata, keluarga mentuanya itu kerugian lebih RM10,000 apabila 15 ekor kambing ternakan mereka hilang dipercayai dibaham harimau.
Dia mengakui kandang kambing yang terletak berhampiran Hutan Simpan Bukit Kinta itu sering menjadi sasaran haiwan buas termasuk harimau belang.
"Bukan sahaja kambing, empat anjing yang dipelihara untuk menjaga kandang dan kebun buah-buahan turut dibaham harimau.
"Beberapa hari lepas sekitar jam 5 petang ada ternampak kehadiran dua harimau belang di atas bukit ketika potong rumput untuk beri kambing.
"Terkejut juga masa itu, cepat-cepat saya siapkan kerja dan terus balik. Mujur tiada apa-apa berlaku," katanya.
Tambahnya, kehadiran haiwan liar itu menyebabkan dia tidak berani untuk lakukan pekerjaan sendirian di kawasan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!