Op Carilamat nelayan hilang di perairan Pulau Tioman ditamatkan

Maritim Pahang melalui MRSC Kuantan menamatkan op Carilamat seorang nelayan yang dikhuatiri terjatuh di Perairan Pulau Tioman pada Jumaat. Foto Maritim Pahang
Maritim Pahang melalui MRSC Kuantan menamatkan op Carilamat seorang nelayan yang dikhuatiri terjatuh di Perairan Pulau Tioman pada Jumaat. Foto Maritim Pahang
A
A
A

KUANTAN - Operasi mencari dan menyelamat (Op carilamat) seorang nelayan dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh dari bot ketika mengawal proses mencari gali minyak dan gas di perairan Pulau Tioman, telah ditamatkan pada Jumaat.

Mangsa, Heng Jooi Hwa, 58, berasal dari Endau, Johor merupakan salah seorang kru bot nelayan tempatan dilihat kali terakhir pada jam 7 petang, Selasa lalu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, penamatan operasi itu dibuat melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan selepas gagal menemukan mangsa.

"Hasil penilaian sepanjang tiga hari Op Carilamat mendapati tiada sebarang tanda penemuan mangsa.

"Justeru, Op Carilamat kita tamatkan pada jam 7.30 petang Jumaat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau tidak menolak kemungkinan akan melaksanakan tugas operasi seperti biasa di sekitar kawasan kejadian sekiranya terdapat tanda penemuan mangsa.

Jelasnya, keluasan sektor pencarian op Carilamat sehingga Jumaat, berjumlah 598.39 batu nautika persegi.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, op Carilamat turut disertai aset laut Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Zon Maritim Kemaman serta syarikat Ramform Sovereign yang memberikan kerjasama dalam operasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kita minta komuniti maritim sekitar turut dimaklumkan mengenai kehilangan mangsa dan diminta memaklumkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang maklumat," katanya.

Beliau juga menyeru semua komuniti maritim agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan semasa menjalankan aktiviti di laut termasuk memakai jaket keselamatan, memastikan bot dalam keadaan baik dan

menggunakan peranti Personal Locator Beacon (PLB).

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09- 5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan mangsa merupakan salah seorang kru bot nelayan tempatan yang dilantik untuk menjaga keselamatan sektor operasi di bawah naungan sebuah vendor Petronas, Ramform Sovereign.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!