'Satu kehilangan besar buat negara, Pahang dan UMNO'
KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan pemergian bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Allahyarham Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman adalah satu kehilangan besar buat negara, Pahang dan juga UMNO sendiri.
Dalam hantaran Facebook miliknya, beliau memberitahu, Allahyarham yang juga bekas Ahli Parlimen Paya Besar dan bekas Ketua Wanita UMNO berusia 75 tahun itu telah banyak mencurahkan jasa sepanjang hayatnya.
"Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham Tan Sri yang telah meninggal dunia kira-kira jam 11.23 malam tadi.
"Semoga roh Allahyarham Tan Sri dicucuri rahmat Allah SWT, diampunkan segala dosa serta ditempatkan bersama-sama orang yang beriman dan beramal soleh.Al-Fatihah," katanya lagi.
Siti Zaharah yang juga Pengerusi Institut Kemajuan Wanita Malaysia (IKWAM) pernah memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan antaranya Timbalan Perancangan, Dewan Bahasa dan Pustaka (1980-1986), Timbalan Menteri, Jabatan Perdana Menteri (1986), Timbalan Menteri Kesihatan (1995-1999) dan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat (1999-2004).
Dalam politik, Allahyarham pernah memegang jawatan Ketua Wanita UMNO Pahang, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ahli Parlimen Mentakab, Ahli Parlimen Paya Besar dan Ketua Wanita UMNO.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!