KDN FC perlu kerja lebih keras cari penyudah gol
PENOLONG Ketua Jurulatih Kelantan Darul Naim (KDN) FC, Rezal Zambery Yahya menyifatkan kebijaksanaan menterjemahkan peluang dalam bentuk jaringan menjadi penentu perlawanan berdepan Perak FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, pada Jumaat.
Malah jelas Rezal Zambery, skuad Kijang Emas itu perlu melakukan lebih banyak kerja rumah bagi memperkemaskan semula kelab pantai timur berkenaan dalam mengharungi baki saingan liga.
“Kami terima kekalahan ini walaupun separuh masa kedua terdapat perkara positif dipamerkan pemain apabila mula menekan pasukan Perak bagi memburu jaringan.
“Pemain-pemain sebenarnya mampu menjaringkan gol dalam perlawanan ini terutama pada minit-minit awal permainan, namun peluang itu gagal disudahkan dalam bentuk jaringan, ini yang harus diperkemaskan lagi pasukan menjelang aksi berdepan Penang FC.
"Biarpun Perak mendapat dua tiga peluang, namun berjaya melakukan penyudah itu yang membezakan antara kita dengan pasukan Perak, selain permainan lebih baik ditampilkan lawan, jadi kita kena bangkit semula daripada kekalahan malam ini,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.
Sebelum itu, hasrat KDN untuk meraih kemenangan kedua liga tidak kesampaian apabila tewas 1-3 Perak FC pada aksi yang tertangguh kira-kira 30 minit berikutan hujan lebat.
Anak buah Yusri Che Lah mendahului 1-0 di separuh masa pertama hasil gol Muhammad Firdaus Saiyadi minit ke-43 sebelum kapten Luciano Guaycochea menyumbat dua gol masing-masing menerusi penalti minit ke-57 dan jaringan ketiga The Bos Gaurus pada minit ke-79.
Sementara itu, KDN yang berusaha memberi saingan berjaya memperoleh gol sagu hati hasil sentuhan penyudah pemain gantian Muhammad Syahir Ab Rashid pada minit ke-85.
Mengenai jendela perpindahan kedua yang dijadualkan bermula Ogos ini, Rezal Zambery berkata, sudah ada perbincangan pihak jurulatih dengan pengurusan untuk menukar beberapa pemain import terutama bahagian serangan.
“Kami begitu sukar untuk menjaringkan gol biarpun mencipta gerakan serta mendapat peluang, namun apabila sampai di atas kita melepaskan peluang.
“Pada saya, untuk kita menang perlawanan, pemain-pemain perlu menjaringkan gol, itu yang kita bincang dengan pengurusan pasukan dan saya percaya akan ada perubahan pada jendela perpindahan pemain nanti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!