Sedondon berpakaian tradisional hadir Karnival Rakyat Karangkraf
SHAH ALAM - Empat beranak berpakaian sedondon tema tradisional hadir meraikan Karnival Rakyat Karangkraf yang sedang berlangsung di Kumpulan Karangkraf di sini pada Sabtu.
Pembantu tabika, Rahmayani Rahman, 40, berkata, walaupun hanya berpeluang untuk hadir pada hari kedua, dia dan keluarga memilih untuk berpakaian seperti itu bagi mengikuti tema karnival yang sangat kena dengan jiwa.
"Ini kali pertama kami sertai program besar begini dengan pakaian seperti ini. Alang-alang semua memang sudah ada jadi kami memilih untuk menggayakan bersama.
"Selain itu, anak-anak sangat teruja dan mencadangkan untuk pakai mengikut tema Karnival Rakyat Karangkraf, mereka gembira, saya serta suami pun bahagia," katanya ketika ditemui di reruai Sinar Harian.
Karnival Rakyat Karangkraf 2024 mengembalikan nostalgia zaman dahulu menerusi tema tradisional dan kerakyatan membabitkan dua komponen utama iaitu sukan rakyat dan pentas rakyat.
Program dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-18 Sinar Harian itu kini sedang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 7 malam sehingga Ahad ini.
Karnival itu turut memberikan peluang kepada pengunjung bagi memenangi motosikal dan pakej umrah dalam sesi cabutan bertuah.
Tambah Rahmayani, orang ramai perlu datang melihat dan merasai sendiri kemeriahan karnival berkenaan.
"Sesiapa yang belum datang, hadirlah. Banyak aktiviti menarik disediakan penganjur. Kemudahan semua tersedia seperti tempat makan yang luas, tandas, surau dan sebagainya.
"Permainan untuk anak-anak sertai juga sangat murah hanya RM2 dan berbaloi. Suami saya pernah datang karnival sebelum ini, tapi kali ini lebih luar biasa! Terima kasih Karangkraf, semoga tahun depan ada lagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!