Pemimpin rakam takziah atas pemergian Siti Zaharah

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Beberapa pemimpin kerajaan dan parti hari ini merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman yang meninggal dunia malam tadi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menerusi catatan Facebook berkata, Siti Zaharah yang juga bekas Ketua Wanita UMNO itu merupakan sahabat kepada arwah ibunya.

"Al-Fatihah. Sahabat akrab arwah bonda. Tidak pernah dengar khabar Allahyarhamah tidak sihat.

"Dirafakkan doa semoga roh Allahyarhamah ditempatkan bersama para hamba yang dikasihi ALLAH SWT. Salam takziah buat seisi keluarga,” katanya.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, selain pembangunan Wanita UMNO, Allahyarhamah banyak berjasa kepada negara dan bangsa.

"Sumbangan beliau tidak ternilai dan akan terus dikenang oleh semua lapisan masyarakat.

"Wanita UMNO berdukacita atas pemergian Allahyarhamah dan mengucapkan takziah kepada keluarga serta kenalan beliau. Semoga Allahyarhamah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan diberikan ketenangan abadi,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan pemergian Allahyarhamah satu kehilangan besar kepada negara, negeri Pahang dan juga UMNO.

Artikel Berkaitan:

"Semoga roh Allahyarhamah Tan Sri dicucuri rahmat Allah SWT, diampunkan segala dosa serta ditempatkan bersama-sama orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri pula berkata, pemergian Allahyarhamah ialah satu kehilangan yang besar buat warga Malaysia kerana Siti Zaharah telah menyumbangkan jasa dan sumbangan kepada pembangunan negara semasa bergiat aktif dalam bidang politik dan sebagai Menteri Persekutuan.

"Setahun yang lepas, saya sempat mengadakan perjumpaan bersama Allahyarhamah dan delegasi daripada Institut Kemajuan Wanita Malaysia (IKWAM) yang diketuai oleh Allahyarhamah sendiri. Sememangnya, idea-idea dan cadangan-cadangan yang diberikan oleh Allahyarhamah dalam perjumpaan itu menunjukkan betapa sayangnya Allahyarhamah terhadap agenda pemerkasaan wanita.

"Semoga ahli keluarga tabah akan dugaan dan cabaran dalam menghadapi detik-detik yang sukar ini. Marilah sama-sama kita berdoa, semoga roh Allahyarhamah Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman ditempatkan bersama-sama dengan orang yang beriman dan beramal soleh. Insya-Allah. Al-Fatihah," katanya menerusi catatan dalam Facebooknya hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut menzahirkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga dan mendoakan Allahyarhamah dicucuri rahmat ALLAH SWT dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman.

"Banyak sumbangan, jasa dan bakti Almarhumah kepada masyarakat dan negara. Ini merupakan satu kehilangan besar kepada negara dan juga keluarga UMNO," katanya.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan pula mendoakan supaya roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beramal soleh.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang turut menyampaikan salam takziah kepada ahli keluarga Allahyarhamah dan mendoakan mereka tabah menghadapi dugaan dan diberikan kesabaran atas pemergian itu.

Siti Zaharah meninggal dunia di Hospital Serdang pada jam 11.23 malam. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!