Dana sekolah perlu bebas dari anasir negatif - Razali

Razali Idris. Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Razali Idris. Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menolak terus sumbangan dana yang mempunyai imej negatif seperti arak untuk disalurkan kepada sekolah.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris menegaskan bahawa sekolah seharusnya bebas daripada anasir arak, rokok serta perkara yang menjurus kepada elemen yang negatif.

"Adalah sesuatu yang sangat malang apabila institusi pendidikan dicemari tajaan syarikat arak selama ini terutama di sekolah aliran Cina.

"Sangat malang apabila parti DAP begitu berbangga dengan sumbangan hampir RM1 bilion dari syarikat arak tanpa mempedulikan ada juga pelajar Melayu Islam yang bersekolah dalam aliran Cina tersebut.

"Sumbangan dana syarikat arak itu seharusnya di luar lingkaran sistem pendidikan dan ia seolah-olah tidak menghormati peraturan kementerian," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Razali mendakwa DAP selama ini tidak menghormati ketetapan peraturan yang ditetapkan.

"Ia seolah-olah tidak menghormati semangat muhibbah dan perpaduan serta Perlembagaan Persekutuan.

"Rakyat menolak sepenuhnya sebarang elemen negatif seperti arak dalam institusi pendidikan.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat juga menolak setiap agenda DAP yang banyak menongkah arus umpama musang berbulu ayam," dakwanya.

Baru-baru ini kontroversi tercetus apabila konsert amal pendidikan bertujuan membuat kutipan bagi membina dewan sekolah yang didirikan sejak 30 tahun lepas itu dikatakan turut membabitkan sumbangan dan tajaan sebuah syarikat arak.

Ia menimbulkan kemarahan pelbagai pihak termasuk Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang mahukan siasatan dilakukan dan menyokong langkah Kementerian Pendidikan melarang sumbangan membabitkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah dan minuman keras kepada sekolah.

Surat pekeliling KPM pada 29 Mac 2018 jelas menyatakan sumbangan kepada sekolah-sekolah tidak boleh membabitkan syarikat arak, rokok, judi dan seumpamanya kerana boleh jejaskan potensi murid dari segi rohani, emosi dan jasmani.

Susulan itu jurucakap kerajaan merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, isu berkenaan telah dibincangkan dalam Kabinet, namun kerajaan menyerahkan kepada menteri berkenaan, Fadhlina Sidek untuk menjawab persoalan mengenai perkara itu.

KPM dalam kenyataan sebelum ini memberitahu pihaknya memandang serius perkara itu dan sedang melakukan siasatan lanjut, selain turut mengingatkan pentadbir di institusi pendidikan di bawahnya supaya mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!