Minat dekati Tse Yee dengan guzheng
SHAH ALAM - Hanya berbekalkan minat, pelajar Tingkatan Tiga, Tan Tse Yee, mengambil inisiatif berkecimpung dengan alatan muzik tradisional Cina, ghuzeng.
Menurutnya, langkah itu bagi memastikan budaya kesenian masyarakat Cina terus terpelihara sehingga generasi akan datang.
"Saya sangat berminat dengan muzik tradisional Cina dan mula menyertai orkestra sejak berumur 10 tahun," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Karnival Rakyat Karangkraf di sini pada Sabtu.
Ujarnya, bagi meningkatkan kemahiran mengendalikan alat muzik tersebut, dia turut mempelajari secara dalam talian.
"Saya juga menyertai pelbagai pertunjukan kebudayaan yang diadakan di luar sekolah," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning itu.
Sementara itu, guru SMK Kota Kemuning Norhafiza Zainon berkata, pihak sekolah sentiasa memberi dorongan terhadap minat pelajar.
"Di sekolah walaupun tiada subjek muzik kami mempunyai pasukan elit kebudayaan yang merangkumi muzik, vokal dan sebagainya.
"Sebenarnya ia mampu mendorong pelajar menjadi seorang yang lebih baik dalam pencapaian akademik," katanya.
Karnival Rakyat Karangkraf diadakan di Kompleks Karangkraf, Seksyen 15 Shah Alam berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat.
Berkonsepkan nostalgia, pelbagai aktiviti dan program yang boleh disertai pengunjung antaranya Sinarplus MakanFest, sukan rakyat, rumah hantu, jualan buku Karangkraf, Fiesta Kucing Tomkraf, jualan Rahmah dan sebagainya.
Selain itu, e-sijil kehadiran dan penyertaan disediakan untuk pelajar sekolah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!