Mesyuarat ASEAN bakal diadakan di semua negeri, tidak tumpu di KL
VIENTIANE - Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun hadapan akan mengadakan mesyuarat serantau di semua negeri dan tidak hanya dipusatkan di Kuala Lumpur sahaja.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebagai tuan rumah, Malaysia akan mengatur kira-kira 300 mesyuarat di peringkat pegawai dan menteri serta dua sidang kemuncak melibatkan ketua negara.
"Kami telah pun melihat dan meninjau serta bersetuju untuk membawa mesyuarat di peringkat menteri dan pegawai ke seluruh negeri.
"Saya berharap semua tempat dan negeri yang telah kami kenal pasti, untuk melakukan persiapan yang terbaik untuk kita menyambut tetamu kerana ini akan melonjakkan imej negara," katanya kepada media Malaysia di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, mesyuarat pertama Menteri-Menteri Luar ASEAN untuk sesi permukiman akan diadakan pada 18-19 Jan di Pulau Langkawi, Kedah.
Mohamad berkata, Malaysia bersedia menjadi pengerusi ASEAN dengan menggariskan tiga tonggak utama iaitu politik dan keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya.
Selain itu, katanya, draf konsep Komuniti ASEAN 2025-2045 yang akan diperkenalkan tahun hadapan, kini dalam peringkat akhir untuk dimuktamadkan.
Katanya, konsep itu merupakan visi 20 tahun, bertujuan meningkatkan kerjasama negara serantau dalam pelbagai aspek.
Mohamad berada di Vientiane sejak Selasa lepas untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-57 (AMM) dan mesyuarat berkaitan yang dipengerusikan oleh Laos.
Hari ini, Mohamad dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone dan mesyuarat dua hala dengan Menteri Luar China Wang Yi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!