Kuala Muda catat kematian tertinggi kes denggi di Kedah
SUNGAI PETANI - Daerah Kuala Muda mencatatkan kematian tertinggi kes denggi di Kedah berbanding lapan kes keseluruhan di negeri ini, setakat ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peningkatan kes secara drastik mendatangkan kebimbangan serta perlu diberi perhatian serius.
"Pada 2022, Kedah ada 1,461 kes dengan dua kematian, pada 2023, bilangan kes meningkat kepada 5,207 dengan sembilan kematian.
"Pada 2024, bilangan kes sehingga 20 Julai 2024 adalah sebanyak 3,337 kes berbanding 3,249 kes untuk tempoh sama 2023, peningkatan sebanyak 88 kes (2.7 peratus). Untuk tahun ini, sebanyak lapan kematian akibat demam denggi direkodkan di Kedah berbanding tujuh kematian dalam tempoh sama tahun lalu," katanya.
Beliau ditemui ketika merasmikan Program Gotong Royong Perdana dan Mega Perangi Aedes di Padang Awam Taman Ria di sini, pada Sabtu.
Menurut Muhammad Sanusi, kebersihan perlu ditingkatkan selain kerjasama agensi berkaitan amat penting memandangkan penduduk di Kuala Muda sudah mencecah lebih 600,000 orang.
"Ini kerana sikap tidak menjaga kebersihan akan menjejaskan orang lain sama ada dari segi kesihatan, pemandangan dan sebagainya, apa lagi jika boleh mendatangkan bahaya hingga menyebabkan kematian.
"Satu perkara lagi yang tidak kurang penting dalam kehidupan kita ialah menghidupkan budaya gotong-royong, semangat ini perlu ada dalam setiap kejiranan," katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Muhammad Sanusi berkata, pelaksanaan pembenihan awan akan dilakukan pada 29, 30 dan 31 Julai ini di Sungai Muda susulan kadar takungan air di tiga empangan di negeri ini yang semakin susut.
"Pembenihan awan saya dengar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah umumkan NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) akan buat (pembenihan awan) pada 29, 30 dan 31 ini untuk menurunkan hujan.
"Ada malaikat jaga hujan (iaitu) malaikat yang menurunkan hujan tapi pembenihan awan ini ikhtiar, menjadikan awan itu sejuk dan dia bawa hujan...InshaALLAH, ALLAH makbulkan usaha itu, hujan akan turun, paras empangan akan naik paras air sungai akan stabil," katanya.
Beliau berkata takungan air di empangan menyusut dengan cepat apabila air dilepaskan secara serentak bagi tujuan pertanian, domestik dan industri.
"Semua orang nak pakai (guna air), jadi bila keluar sedaih (sekali gus) itu, susut cepatlah...saya harap lepas musim menanam, pertanian tak pakai untuk pengairan lagi, akan tingkatkan balik takungan air di empangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!