Dua beranak ditahan SPRM disyaki terlibat keluarkan pas lawatan IMM13
SANDAKAN - Dua beranak ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki terlibat dalam pengeluaran pas lawatan IMM13 yang didalangi beberapa petugas sebuah agensi penguat kuasa di daerah ini.
Perintah reman terhadap ibu dan anak yang masing-masing berusia 50-an dan 30-an itu dikeluarkan oleh Majistret Marilyn Kelvin selepas SPRM membuat permohonan di Majistret Sandakan, pada pagi Sabtu.
Sebelum itu, menurut sumber, suspek pertama dan anak perempuannya telah ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan, kira-kira jam 7 malam Jumaat.
"Kedua-dua ibu dan anak ini dipercayai bertindak sebagai orang tengah dalam menguruskan lanjutan permohonan pas lawatan IMM13 kepada pelarian dari Filipina yang datang berlindung di Sabah akibat pergolakan sekitar awal 1970-an.
"Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2022 dan ia melibatkan wang rasuah berjumlah kira-kira RM20,000," katanya.
Sementara itu Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan akan dibuat susulan penahanan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!