Kajian selidik fakta sejarah Kedah, Pulau Pinang bukan sia-sia - Sanusi

Muhammad Sanusi melayani kanak-kanak yang hadir ke Gotong-Royong Perdana dan Mega Perangi Aedes di Padang Awam Taman Ria Sungai Petani, pada Sabtu.
Muhammad Sanusi melayani kanak-kanak yang hadir ke Gotong-Royong Perdana dan Mega Perangi Aedes di Padang Awam Taman Ria Sungai Petani, pada Sabtu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yakin penyelidikan ke atas 20,000 dokumen di luar negara bagi melihat fakta sebenar hubungan antara Kedah dan Pulau Pinang, bukanlah sia-sia seperti dakwaan pihak tertentu.

Muhammad Sanusi berkata, tindakan itu bukanlah membazir sebaliknya setiap dapatan kajian mempunyai nilai dan khazanah tersendiri.

"Tiap ilmu yang ALLAH campakkan, tiap bahan sejarah yang ALLAH simpan untuk kita temui ada guna. Tuhan taruh mumia firaun pasal Tuhan nak kita kaji apa dia sikap firaun, dia zalim, dia kejam, dia bunuh nabi dan mengaku Tuhan.

"Tuhan simpan mumia pasal nak bagi pengajaran dekat kita semua, dengan dokumen sejarah ini kita manfaatkan, mana boleh sia-sia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Program Gotong-Royong Perdana dan Mega Perangi Aedes di Padang Awam Taman Ria di sini, pada Sabtu.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kota Darul Aman, Teh Swee Leong mengkritik bahawa kajian status sejarah Kedah dan Pulau Pinang yang dilakukan adalah pembaziran masa dan sumber.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri mendakwa, pembaziran masa dan sumber sebenarnya merujuk kepada parti Swee Leong iaitu DAP.

"DAP yang sia-sia, bubarkan sahaja parti itu," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Jelas Muhammad Sanusi, hasil dapatan maklumat terperinci mengenai status kajian Kedah dan Pulau Pinang akan disimpan (embargo) sehingga Disember.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, pasukan penyelidik terdiri pakar perundangan dan sejarawan sedang meneliti dokumen dan perjanjian sejarah sejak 1821 yang diambil di England, Belanda, Thailand dan Indonesia.

Katanya, kerajaan negeri akan menggunakan dapatan kajian berkenaan bagi menentukan hala tuju baharu dalam hubungan antara dua negeri berkenaan termasuk dalam isu berkaitan tuntutan pajakan dan pampasan bekalan air.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!