MBS arah pemaju robohkan penempatan pekerja asing

Laporan Sinar Harian pada 17 Julai lalu.
Laporan Sinar Harian pada 17 Julai lalu.
A
A
A

SEREMBAN - Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mengarahkan pihak pemaju supaya merobohkan struktur penempatan warga asing yang didakwa dijadikan tempat tinggal pekerja di Taman Bandar Senawang, di sini.

Ketua Unit Komunikasi Korporat MBS, Shamaruddin Saidin berkata, hasil siasatan mendapati premis berkenaan tidak mematuhi peruntukan undang-undang di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Merujuk kepada laporan akhbar pada 17 Julai lalu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah membuat serbuan bersepadu di lokasi dan pihak kami sudah menjalankan siasatan lanjut mengenai penempatan haram berkenaan.

"MBS telah mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis kepada pihak pemilik tanah supaya merobohkan struktur bangunan serta-merta," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Keadaan penempatan warga asing yang diserbu di Taman Bandar Senawang
Keadaan penempatan warga asing yang diserbu di Taman Bandar Senawang

Ujarnya, hasil semakan juga mendapati tanah yang dijadikan lokasi penempatan berkenaan juga adalah milik pemaju iaitu sebuah syarikat pembinaan yang menjalankan projek perumahan di kawasan terbabit.

"Pihak kami sudah melakukan semakan dengan Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan mengenai situasi itu dan mendapati ia menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 70(1), 70(11) dan 87(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Artikel Berkaitan:

"Ia bagi mana-mana bangunan yang dibina tanpa mendapat kebenaran daripada PBT terutamanya sehingga menyebabkan kacau ganggu kepada orang awam," katanya.

Keadaan dapur di lokasi penempatan haram warga asing di Taman Bandar Senawang
Keadaan dapur di lokasi penempatan haram warga asing di Taman Bandar Senawang

Katanya,sekiranya arahan notis tidak dipatuhi, pihak MBS akan mengambil tindakan perundangan yang lebih tegas kepada pihak pemilik tanah mengikut peruntukan perundangan yang ditetapkan.

"Kami sangat menghargai warga Bandaraya Seremban yang sentiasa melaporkan sebarang aduan atau pertanyaan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) mbseremban.spab.gov.my atau Aplikasi Respons Rakyat," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan JIM bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan pihak polis menyerbu satu penempatan haram warga asing yang dikatakan sudah bertapak sejak 15 tahun lalu.

Bagaimanapun, pihak pemaju memaklumkan penempatan itu sebenarnya adalah rumah pekerja mereka di atas tanah persendirian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!