Dana syarikat arak: Akmal pertahan kenyataan Fadhlina
SHAH ALAM - Garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung kutipan dana sekolah adalah untuk menjaga sensitiviti agama dan bangsa di negara ini.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan bahawa kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum ini atas kapasiti sebagai menteri yang menjaga undang-undang telah ditetapkan.
"Saya juga nak ingatkan Lim Guan Eng dan DAP bahawa Islam adalah agama persekutuan dan majoriti penduduk adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam.
"Polisi yang diwujudkan adalah untuk menjaga sensitiviti agama dan bangsa di negara ini.
"Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bercakap atas kapasiti sebagai menteri yang menjaga undang-undang telah ditetapkan dan juga beliau sebagai seorang menteri berbangsa Melayu Islam," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Dr Muhamad Akmal berkata demikian bagi membidas kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang mengkritik Fadhlina supaya tidak berpendirian seiring dengan Pas dan Pemuda UMNO dalam isu kutipan dana dan pendidikan Cina.
Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal mengingatkan kepada Guan Eng supaya menjaga sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.
Sebelum ini, pentadbir institusi pendidikan di bawah KPM dinasihatkan supaya mematuhi garis panduan dalam menguruskan sumbangan yang diterima daripada pihak luar.
Fadhlina berkata, pihaknya mengalu-alukan pemberian sumbangan kepada institusi pendidikan namun pada masa sama, ia mesti selari dengan garis panduan yang telah ditetapkan.
Susulan itu, Guan Eng mengingatkan Fadhlina Sidek supaya tidak berpendirian seiring dengan Pas dan Pemuda Umno dalam isu kutipan dana pendidikan Cina selain menegaskan beliau bukan 'Menteri Pendidikan Pas'.
Baru-baru ini kontroversi tercetus apabila konsert amal pendidikan bertujuan membuat kutipan bagi membina dewan sekolah yang didirikan sejak 30 tahun lepas itu dikatakan turut membabitkan sumbangan dan tajaan sebuah syarikat arak.
KPM dalam kenyataan sebelum ini memberitahu pihaknya memandang serius perkara itu dan sedang melakukan siasatan lanjut, selain turut mengingatkan pentadbir di institusi pendidikan di bawahnya supaya mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!