[VIDEO] Kampung Sungai Baru dipilih kampung angkat Menteri Agama

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kampung Sungai Baru di Kampung Baru dekat sini, dijadikan kampung angkat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Mohd Na'im berkata, langkah tersebut selaras dengan hasrat Kerajaan Madani dalam memartabatkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat.

Selain itu, beliau menjelaskan, ia juga bagi menggerakkan usaha untuk menangani masalah kemiskinan tegar dan penyelesaian kepada isu dan masalah dihadapi masyarakat.

Mohd Na'im (tengah) meluangkan masa ke rumah asnaf penerima bantuan zakat MAIWP.
Mohd Na'im (tengah) meluangkan masa ke rumah asnaf penerima bantuan zakat MAIWP.

Dalam program ini, Mohd Na'im meluangkan masa ke rumah tiga asnaf penerima bantuan zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan turut bertemu pengurusan Sekolah Kebangsaan Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Tiga ketua keluarga asnaf terbabit adalah keluarga Noraziah Bistaman, 52, Siti Norsiah Mashkor, 70, dan Badrol Hisham Mohd Noor, 62, yang masing-masing menetap di Jalan Raja Musa.

"Kita baru mula (program lawatan tersebut) dan setakat perjumpaan dengan tiga keluarga asnaf ini mereka sudah menerima bantuan (bulanan) sejak dua, tiga tahun lepas lagi.

"Ada hikmahnya apabila kita turun padang, kita jumpa asnaf, kita jumpa benda baharu yang mereka perlukan. Contohnya rumah yang mereka diami agak usang apabila zink dan bumbung sudah tercabut, silingnya pecah dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Pelbagai aktiviti dianjurkan bersama Mohd Na'im (tengah) sepanjang Program Santuni Madani: Mini Karnival Kampung Angkat Madani di Kampung Baru.
Pelbagai aktiviti dianjurkan bersama Mohd Na'im (tengah) sepanjang Program Santuni Madani: Mini Karnival Kampung Angkat Madani di Kampung Baru.

"Kalau kita tidak turun padang, kita tidak nampak keperluan mereka dan ini adalah dari sudut fizikal yang cuba kita atasi," katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.

Beliau ditemui pada program Mini Karnival dan Majlis Peluncuran Santuni Madani Kampung Angkat Bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Kampung Baru di sini.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa; Pengerusi MAIWP, Kamarulzaman Syed Kabeer dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya.

Dalam pada itu, ujar Mohd Na'im, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru pula dipilih menjadi simbolik penyerahan Program Gerobok Rezeki Sekolah Wilayah Persekutuan Tahun 2024 berjumlah RM1.5 juta.

Jelasnya, Program Gerobok Rezeki Sekolah adalah merupakan inisiatif MAIWP dalam memastikan tiada anak-anak terutamanya pelajar sekolah yang kelaparan.

Mohd Na'im (duduk, lima dari kanan) bersama pihak pengurusan SK Kampung Baru.
Mohd Na'im (duduk, lima dari kanan) bersama pihak pengurusan SK Kampung Baru.

Ujarnya lagi, dengan konsep 'ambil atas keperluan, beri tanpa persoalan', program digerakkan dengan kerjasama Pertubuhan Keinsanan Malaysia memberi manfaat kepada semua pelajar tanpa mengira agama dan bangsa sebagai satu usaha MAIWP menyebarluas keindahan Islam dan semangat perpaduan kepada masyarakat.

"Di SK Kampung Baru, pihak sekolah juga ada sebut kepada saya mengenai keperluan sekolah untuk sebuah dewan serbaguna yang terbuka kerana mereka perlukan dewan ini sudah agak lama.

"Dewan tiada dan apabila hendak membuat program kalau hujan ia tidak dapat diadakan sebab tiada dewan dan yang itu juga kita akan cuba bantu Insya-ALLAH," ujarnya.

Sepanjang Program Santuni Madani: Mini Karnival Kampung Angkat Madani ini, pelbagai aktiviti turut dianjurkan antaranya sukaneka, jualan Rahmah Madani, jualan usahawan asnaf dan pelbagai lagi aktiviti dengan kerjasama agensi di bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!