Perkhidmatan media sosial, pesanan internet perlu mohon lesen

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
A
A
A

CYBERJAYA - [DIKEMAS KINI] Semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya 8 juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta588)

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan langkah tersebut dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun depan selepas kerangka kawal selia baharu akan diperkenal pada 1 Ogos.

"Kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil di bawah Akta 588," kata SKMM dalam kenyataan pada Sabtu.

Ujar suruhanjaya itu, ia selaras keputusan Jemaah Menteri bahawa perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet mesti mematuhi undang-undang Malaysia, demi memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber serta jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

"Kerangka kawal selia baharu tersebut hanya terpakai kepada platform yang menepati syarat kelayakan pelesenan dan tidak melibatkan pengguna," jelas SKMM.

Katanya, langkah berkenaan bakal mewujudkan ekosistem dalam talian lebih selamat serta pengalaman yang lebih baik untuk para pengguna, terutama buat kanak-kanakdan seisi keluarga.

Sebelum ini, platform-platform tersebut telah dikecualikan daripada keperluan pelesenan berdasarkan Perintah Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) (Pengecualian) 2000.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!