Busana ‘Mahsuri’ disiapkan dalam tempoh 48 jam
SHAH ALAM - Usaha menyiapkan busana ‘Mahsuri’ dalam tempoh 48 jam membuahkan hasil apabila muncul sebagai pemenang bagi kategori Kostum Terbaik menerusi Pertandingan Bercerita Madani dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
Bagi murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Panjang, Sekinchan, Selangor itu, Ariesha Mohd Jasni, 9, yang turut memasuki pertandingan tersebut tidak menyangka hasil tangan ibunya menjadi perhatian juri dan orang ramai.
“Saya tak sangka walaupun ibu sibuk bekerja tetapi sempat menyiapkan pakaian pada hari ini dalam masa dua hari.
“Alhamdulillah saya sangat gembira apabila ramai yang memuji baju ini cantik,” katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Bercerita Madani yang diadakan di Studio My #QuranTime Kumpulan Karangkraf pada Sabtu.
Dalam pada itu, menurut guru, Che Nirwana Mohd Rafaie usaha murid dan ibu bapa yang sama-sama menghasilkan pakaian untuk pertandingan tersebut sangat memberangsangkan.
Beliau juga turut membantu ibu bapa dengan membuat rujukan daripada bahan bacaan sedia ada untuk memastikan busana Mahsuri itu mampu dipakai untuk pertandingan tersebut.
“Usaha ibu bapa murid ini memang bagus. Ibunya sibuk jadi hanya sempat siapkan dengan cepat dalam tempoh yang sangat terhad. Saya tak sangka pula boleh menang.
“Cabaran untuk menyiapkan pakaian ini tiada masalah kerana sekarang kita boleh membuat pelbagai rujukan di media sosial dan bahan bacaan lain,” katanya.
Sementara itu, tempat pertama bagi kategori Pertandingan Bercerita Sekolah Rendah Swasta dimenangi oleh Aushaf Aqil Rifa’ Ne Abdul Azim dari Sekolah Rendah Setiabudi, Gombak; tempat kedua, Dhanniya Irany dari Sekolah Rendah Sri UCSI, Subang Jaya manakala tempat ketiga,Muhammad Iqbal Haris Ahmad Ikram dari Soleh Integrated Islamic School, Cyberjaya.
Bagi anugerah johan kategori Sekolah Rendah Tahap Satu dimenangi oleh Nur Husna Zafirah Hujatullah dari SK Pandan Indah, Ampang; naib johan, Siti Nur Aunie Sulaiman dari SK Bukit Beruntung 2, Rawang dan tempat ketiga Muhammad Izz Zarif Mohammad Izwan dari SK Labohan Dagang, Banting.
Karnival Rakyat Karangkraf 2024 mengembalikan nostalgia zaman dahulu menerusi tema tradisional dan kerakyatan membabitkan dua komponen utama iaitu sukan rakyat dan pentas rakyat.
Program dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-18 Sinar Harian itu kini sedang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 7 malam sehingga Ahad ini.
Karnival itu turut memberikan peluang kepada pengunjung bagi memenangi motosikal dan pakej umrah dalam sesi cabutan bertuah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!