Agong, Raja Permaisuri berangkat ke Majlis Jamuan Teh Diraja

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menghadiri Majlis Jamuan Teh Diraja di Istana Negara di sini hari ini.

Majlis Jamuan Teh Diraja berkenaan merupakan acara diatur khas bersempena dengan Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang berlangsung pada 20 Julai lepas.

Berangkat sama pada majlis hari ini yang diadakan di Dewan Santapan Utama ialah anakanda Seri Paduka Baginda berdua iaitu Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar serta Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah dan suami Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Majlis yang bermula pada jam 3 petang itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, selain kira-kira 1,200 tetamu termasuk menteri-menteri Kabinet, ahli-ahli Parlimen, duta-duta, perwakilan asing ke Malaysia dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Hadir sama, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil merangkap Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan isteri, Azrina Puteri Mohamed Mahyuddin.

Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.

Tayangan video sempurnanya Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara pada Sabtu lepas menerusi skrin di dalam Dewan Santapan Utama antara pengisian majlis pada hari ini, di samping persembahan orkestra oleh Badan Kesenian Tentera Darat.

Terdahulu, sebaik sahaja keberangkatan tiba Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah di dalam dewan, lagu Negaraku dimainkan diikuti bacaan doa oleh Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Munir Md Salleh.

Artikel Berkaitan:

Usai Majlis Jamuan Teh Diraja itu, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan meluangkan masa bersalaman, beramah mesra dan berswafoto dengan tetamu jemputan.

Acara-acara bersempena dengan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong bermula pada 18 Julai, didahului dengan dua acara di Masjid Negara membabitkan Majlis Bacaan Yasin serta Doa Selamat, disusuli keberangkatan Sultan Ibrahim yang berkenan menunaikan solat Jumaat dan mendengar Khutbah Jumaat Khas pada keesokannya.

Turut diadakan Majlis Santapan Diraja di Istana Negara pada malam selepas istiadat pertabalan dan keberangkatan Raja Zarith Sofiah ke Hospital Orang Asli Gombak di sini pada Selasa.

Selain itu, Pameran Raja Kita kini berlangsung di Muzium Negara di sini hingga 29 September.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lepas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!