'Fisya rindu nak ke sekolah, bersukan di padang'

Maznah (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Nur Fisya Atira di kediamannya di Taman Sepadu, Tasek Gelugor pada Sabtu.
Maznah (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Nur Fisya Atira di kediamannya di Taman Sepadu, Tasek Gelugor pada Sabtu.
A
A
A

TASEK GELUGOR - Seorang remaja tingkatan satu mungkin terpaksa melupakan alam persekolahannya seketika selepas disahkan menghidap kanser tulang sejak hujung tahun lalu.

Nur Fisya Atira Mohd Fuad yang dahulu aktif bersukan dengan menyertai pasukan sekolah dalam pasukan bola baling namun kini hanya mampu terbaring di atas tilam dengan keadaan kaki berbalut.

Ibunya, Rosnita Hussin, 45, berkata, meskipun sedih dengan nasib yang menimpa anak bongsu dari dua beradik itu namun dia dan suami, Mohd Fuad Ismail, 53, perlu kuat dan sentiasa positif menghadapi ujian ini.

Menurutnya, keadaan kesihatan Nur Fisya Atira kini semakin membimbangkan berikutan kuman penyakit itu telah merebak ke bahagian paru-paru selain tulang kakinya semakin rapuh.

"Memang sedih bila mengenangkan ujian ini kerana sebelum ini Fisya anak yang lincah, ceria dan rajin namun disebabkan penyakit yang tak pernah kami duga ini membuat kehidupannya terus berubah.

"Kalau dulu aktiviti hariannya selalu di sekolah dan di padang namun sekarang rutin hariannya berubah kerana perlu menjalani pemeriksaan doktor dan melakukan kemoterapi di hospital," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman mereka di Taman Sepadu di sini, pada Sabtu.

Mengimbas kembali detik awal Nur Fisya Atira diuji dengan kanser tulang, Rosnita berkata, pada mula kaki anaknya hanya itu terdapat benjolan kecil sebelum ia mula membengkak dan parah.

Jelasnya, pemeriksaan awal doktor hanya mengesyaki kaki anaknya itu terdapat ketumbuhan namun selepas rawatan susulan di hospital termasuk melakukan ujian pengimejan resonans magnetik (MRI) mendapati anak perempuan itu disahkan menghidap kanser.

Artikel Berkaitan:

"Fisya perlu pemantauan rapi doktor dan dalam seminggu antara tiga atau empat kali kami perlu membawanya ke hospital.

"Dengan pendapatan suami yang tidak seberapa dan saya pula hanya suri rumah sudah pasti soal perbelanjaan bulanan kami amat terkesan kerana Fisya kini perlu pakai lampin dan makan ubat khas," katanya.

Maznah (kiri) ketika menziarahi Nur Fisya Atira di kediamannya di Taman Sepadu, Tasek Gelugor pada Sabtu.
Maznah (kiri) ketika menziarahi Nur Fisya Atira di kediamannya di Taman Sepadu, Tasek Gelugor pada Sabtu.

Sementara Fisya yang sebak ketika ditemu bual pemberita berkongsi impiannya untuk kembali ke sekolah dan bermain di padang seperti sebelum ini.

Katanya, meskipun tahu sebarang kemungkinan yang akan berlaku namun dia perlu kuat dan semangat untuk terus menjalani kehidupan.

"Saya tahu apa risiko yang perlu dihadapi, saya kena kuat untuk lawan penyakit ini.

"Kalau dah sembuh nanti pastinya saya nak kembali aktif bersukan dan tak nak mak serta ayah bersedih lagi," luahnya.

Terdahulu, Nur Fisya Atira menerima kunjungan Presiden Persatuan Sahabat Kanak Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN), Maznah Tayib yang membawa bantuan kepada keluarga kanak-kanak itu.

Maznah berkata, walaupun sedang menahan sakit namun Nur Fisya Atira sentiasa positif dan kuat walaupun kini dia tidak boleh berjalan seperti dahulu.

"Bagi membantu adik Nur Fisya Atira ini, FOCCAN akan mendapatkan kerusi roda bagi memudahkan pergerakannya ke hospital selain melihat keperluan lain yang diperlukan,"katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Nur Faisya Atira boleh menghubungi Mohd Fuad di talian 011-12489484 atau salurkan sumbangan melalui akaun Maybank (157102417836).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!