'Ini bukan soal UMNO seiring Pas' - Shamsul Anuar
KOTA BHARU - UMNO kekal dengan pendirian menyokong larangan sebarang aktiviti termasuk sumbangan dana arak kepada institusi pendidikan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, sebarang perkara yang berkait dengan minuman keras tidak boleh dibawa masuk ke institusi itu kerana tidak memberi nilai yang baik.
“Ini bukan soal menari seiring dengan Pas, tetapi sesebuah institusi pendidikan itu untuk mendidik anak-anak dan nilai yang tidak baik harus dielakkan apatah lagi arak.
“Secara peribadi saya tak bersetuju segala perkara melibatkan arak dibawa ke dalam institusi pendidikan kerana boleh beri nilai yang tidak baik bukan sahaja kepada orang Islam tetapi sesiapa pun,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Kubang Kerian di Dewan UMNO negeri Kelantan, di sini, pada Sabtu.
Pada Jumaat, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mengingatkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya tidak berpendirian seiring dengan Pas dan Pemuda UMNO dalam isu kutipan dana pendidikan Cina selain menegaskan Fadhlina bukan ‘Menteri Pendidikan Pas.’
Sebelum ini, akhbar melaporkan Kabinet pada Rabu lalu bersetuju agar Kementerian Pendidikan mengekalkan pekeliling yang dikeluarkan pada 2018 yang antara lain melarang pihak sekolah menerima sumbangan dan tajaan daripada syarikat minuman keras.
Dalam pada itu, Shamsul Anuar yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri mengingatkan semua pihak supaya menghormati garis panduan sedia ada berkenaan isu terbabit.
“Negara kita ada undang-undang dan peraturan.
“Begitu juga Kementerian Pendidikan ada garis panduan yang diguna pakai sejak dulu hingga sekarang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!