Guna maskot katak tarik pelanggan beli jualan
SHAH ALAM - Hari Kantin Sinar Bestari x Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sempena Karnival Rakyat Karangkraf merupakan platform murid-murid menunjukkan kreativiti untuk menarik pelanggan.
Guru Perpustakaan dan Media, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 9 (2), Nurafidah Mohd Khalid berkata, penyertaan yang melibatkan banyak sekolah telah membangkitkan satu perasaan ingin bersaing secara sihat.
“Apabila berbicara mengenai perniagaan, perkara utama yang dititikberatkan adalah mengenai keuntungan. Jadi saya membantu anak didik memikirkan cara di luar kotak untuk meraih keuntungan.
“Setelah melalui proses perbincangan, kami (SMK Putrajaya Presint 9 (2)) memilih untuk membuat kelainan dengan menampilkan maskot katak bagi menarik pengunjung membeli produk yang dijual,” katanya ketika ditemui di Pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Sabtu.
Mengulas mengenai hari kantin berkenaan, Nurhafidah memaklumkan, ia merupakan acara yang julung kalinya dilakukan di luar sekolah.
Tambah beliau, kebiasaannya hari kantin hanya melibatkan murid-murid dari sekolah sama tetapi berbeza dengan konsep yang diketengahkan oleh pihak penganjur.
Jelas Nurafidah, penyertaan yang melibatkan banyak sekolah secara tidak langsung membantu anak didiknya membina keyakinan diri untuk berdepan dengan murid-murid dari sekolah berbeza.
Dalam pada itu, Nurafidah memberitahu bahawa SMK Putrajaya Presint 9 (2) menjadi peserta tunggal dari Wilayah Persekutuan.
“Tujuan utama menyertai hari kantin adalah sebagai tanda sokongan terhadap aktiviti yang dilakukan Sinar Bestari kerana mereka banyak membantu kami menerusi program TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS).
“Walaupun Putrajaya bukan sebahagian daripada Selangor tetapi kami terhutang budi dengan Karangkraf kerana banyak membantu perkembangan murid.
“Kami menyertai Hari Kantin Sinar Bestari X PTPTN sebagai tanda menghargai bantuan di samping memeriahkan lagi karnival dan melatih murid berniaga,” ujarnya.
Pada masa sama, Hari Kantin Sinar Bestari X PTPTN turut menampilkan Cef Asma Nordin dalam sesi demonstrasi masakan sempena Karnival Rakyat Karangkraf.
Asma berkata, demonstrasi masakan adalah berkonsepkan kuih tradisional yang mudah untuk disediakan.
“Hari ini, saya menunjukkan cara menyediakan tiga kuih tradisional iaitu Bako Nyor, Cara Berlauk dan Akok Terengganu.
“Kesemua menu yang saya sediakan ini sangat mudah untuk disediakan kerana ia menggunakan peralatan moden. Bahan-bahan yang digunakan juga mudah untuk didapati,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!