Guan Eng diingatkan tidak politikkan isu sumbangan syarikat arak

Zainul Rijal Abu Bakar
Zainul Rijal Abu Bakar
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi DAP, Lim Guan Eng diingatkan agar tidak mempolitikkan isu sumbangan syarikat arak di sekolah vernakular apabila menempelak Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya tidak mengikut telunjuk Pas.

Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, apa yang berlaku bukan lah isu politik ataupun keagamaan secara seratus peratus namun turut melibatkan isu pendidikan dan kesihatan juga.

Menurutnya, dalam acara sukan pun sudah lama ada larangan bagi promosi syarikat minuman keras malah syarikat judi dan tembakau juga menghadapi larangan yang sama.

"Larangan yang sama juga ada dilaksanakan di negara-negara luar. World Health Organisation (WHO) dan telah menyatakan secara spesifik promosi dan pengiklanan alcohol mestilah dikawal.

"Pada September 2005 umpamanya WHO Wilayah Eropah telah memakai “Framewok for alcohol Policy” yang menggariskan prinsip beretika termasuk menyatakan semua kanak-kanak dan orang dewasa mempunyai hak untuk hidup dalam persekitaran yang dilindungi dari akibat negatif meminum alkohol ataupun setakat yang dibenarkan promosi alkohol," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat media melaporkan, Guan Eng mendakwa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengikut telunjuk Pas dalam isu sumbangan sekolah jelas beliau bukan saja tak sependapat dengan menteri, bahkan keputusan Kabinet.

Guan Eng turut mengingatkan Fadhlina supaya tidak berpendirian seiring dengan Pas dan Pemuda UMNO dalam isu kutipan dana pendidikan Cina dan menegaskan beliau bukan menteri pendidikan Pas.

Jelas Zainul Rijal, Pekeliling Kementerian Pendidikan yang dikeluarkan melarang sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan dan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perkara itu bakal membawa padah jika sumbangan yang dibuat disertai dengan promosi dan iklan syarikat yang dilarang itu.

"Bayangkan apa kesannya iklan syarikat minuman keras, judi dan rokok terpampang di sekolah-sekolah.

"Sebagaimana kita maklumi tujuan iklan adalah untuk mempengaruhi seseorang untuk menggunakan jenama berkenaan," ujarnya.

Tambah beliau, banyak isu pemandu mabuk yang melanggar orang awam di jalanan dan kerajaan seharusnya lebih tegas menangani isu ini bermula dari sekolah lagi.

"Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada YB Fadhlina Sidek yang bertegas melaksanakan pekeliling kementerian tanpa gentar demi menjaga kemaslahatan murid-murid sekolah yang bukan sahaja merupakan pemimpin pada masa akan datang tetapi harapan pada hari ini," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!